Joel Embiid meluahkan kekecewaannya selepas tewas kepada Nikola Jokic dalam perebutan Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) tetapi kini bertekad untuk membantu Philadelphia 76ers bergelar juara NBA.

Bintang Denver Nuggets, Jokic, dipilih sebagai pemenang MVP selepas memperoleh 91 undi dan 971 mata keseluruhan, jauh meninggalkan Embiid (586 mata).

Sebagai repons kepada kegagalan itu, Embiid merekodkan 40 mata dan 13 rebound bagi memacu kemenangan 118-102 76ers ke atas Atlanta Hawks, sekali gus mengikat kedudukan 1-1 dalam siri separuh akhir Persidangan Timur.

Bercakap mengenai kemenangan Jovic, Embiid -- yang musimnya terganggu berikutan kecederaan lutut pada Mac lalu -- berkata: "Ia hanya beberapa perkara yang berada di luar kawalan saya. Sudah pasti, kami sebagai satu pasukan telah memperoleh tahun yang baik dan saya merupakan sebahagian daripadanya.

"Ia mengecewakan kerana sebagai pemain, anda berusaha keras untuk momen seperti ini tetapi sekali lagi, ia berada di luar kawalan saya. Tiada apa yang saya boleh lakukan mengenainya.

"Saya hanya perlu bermain setiap tahun dan bersedia dan melakukan tugas saya," katanya.

Embiid, yang sedang bergelut dengan kecederaan meniscus ketika 76ers memburu gelaran NBA pertama sejak 1983, menambah: "Saya sedang fokus kepada perlawanan playoff, fokus untuk memenangi kejohanan ini.

"Saya sudah katakan sepanjang musim ini bahawa kami mempunyai peluang yang besar, jadi saya tidak gusar mengenai anugerah dan perkara seperti itu. Apabila saya dapat memegang trofi itu, perkara lain tidak lagi penting," katanya.