Pelantikan Andrea Pirlo sebagai jurulatih baru Juventus bagi menggantikan Maurizio Sarri memberi gambaran landskap kejurulatihan di Eropah sudah mula berubah.

Jika trend dahulu, kebanyakan kelab besar di Eropah lebih gemar memburu jurulatih dengan rekod koleksi piala yang baik, kini mereka mendambakan bekas pemain dengan idea moden dalam bidang kejurulatihan.

dalam Liga Perdana Inggeris, kelab-kelab gergasi, sudah mula memilih jurulatih muda walaupun masih cetek pengalaman dan pencapaian. Kita tolak Pep Guardiola dan Jurgen Klopp; lihat kepada Frank Lampard yang dipilih Chelsea, Ole Gunnar Solskjaer bersama Manchester United dan Mikel Arteta yang merangkul kejuaraan pertama bersama Arsenal. Mereka semua merupakan legenda kelab ketika menjadi pemain dan itu mungkin sentimen tambahan yang dilihat pemilik dan ahli lembaga pengarah kelab.

Malah, musim penuh pertama Scott Parker bersama Fulham menyaksikan dia berjaya membawa kelab itu layak beraksi di liga perdana musim depan, sebaris dengan jurulatih otai Marcelo Bielsa & Slaven Bilic.

Mungkin resipi ini yang perlu dicari Barcelona yang dilihat begitu terdesak mendapatkan jurulatih yang betul-betul stabil. Lihat pada pencapaian Zinadine Zidane bersama Real Madrid, mungkin ahli lembaga pengarah Barca perlu menukar angin dalam mencari jurulatih muda yang boleh ‘mengawal’ bilik persalinan.



Ketika kedudukan Quique Setien masih belum selamat, penulis menjangkakan dengan trend semasa, legenda kelab Xavi akan menjadi pilihan utama untuk menjadi jurulatih Barca yang seterusnya walaupun perancang tengah itu pernah menolak tawaran yang diberikan kelab Catalan itu.

Pirlo pula kini akan memiki tugas sukar bersama Juventus, apatah lagi akan bersaing bersama rakan karibnya Gennaro Gattuso yang membimbing Napoli. Juve sebenarnya begitu mendambakan kejuaraan Eropah; antara sebab utama Sarri dipecat walaupun memberi gelaran liga ke-9 berturut-turut.

Gattuso sudah memberi amaran kepada Pirlo yang tugas kejurulatihan lebih kejam, dengan membawa kelab besar lebih tinggi risikonya. Gattuso sendiri mengalaminya ketika membimbing AC Milan, namun bangkit dan merangkul kejuaraan pertamanya bersama Napoli.

Penulis bukan menidakkan keupayaan jurulatih otai, cuma trend ketika ini menyaksikan perubahan itu bakal memberi kelebihahan kepada jurulatih muda.

Pertukaran undang-undang dalam sukan bola sepak sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada barisan jurulatih muda ini ‘memasak’ ramuan taktikal baru sesuai dengan peredaran semasa. Lihat sahaja undang-undang sepakan gol yang bertukar, ia mencetus beberapa taktikal baru yang perlu diadaptasi kesemua jurulatih.

Penulis pernah berborak kosong bersama Nidzam Jamil, seorang jurulatih muda tempatan yang meningkat naik. Dia menyatakan sistem kejurulatihan masa kini lebih kompleks kerana selain taktikal, keupayaan dalam mengadaptasi data sains sukan akan memberi tambahan mata kepada jurulatih tersebut.

Malah, dia juga menekankan aspek ‘man management’ seseorang jurulatih perlu tinggi dalam melayani karenah setiap pemain dalam pasukan.

Cuma kes Pirlo ini lebih menarik kerana dia akan menjadi jurulatih kepada Gianluigi Buffon yang lebih tua darinya.

Adakah Pirlo mampu memikul ‘beban’ ini sepertimana ketenangannya ketika beraksi di atas padang? Sama-sama kita nantikan.