Atlit yang saya maksudkan adalah Abdul Hadi Abdul Malek, penembak yang dahulunya bergelar atlit elit sebelum kembali menjadi atlit pelapis pada tahun 2015.

Sebelum ini sewaktu saya menemuramah Hadi apabila dia menjadi juara Kejohanan Menembak Kebangsaan 2015, dia turut meluahkan rasa kecewa kepada para wartawan mengenai statusnya yang bukan lagi digelar penembak elit.

Ketika kejohanan tersebut, Hadi berjaya ketepikan beberapa penembak elit seperti Eddy Chew dan Johnathan Wong. Justeru, dia menyifatkan kejayaannya itu sebagai bukti dia juga setanding dengan penembak hebat yang lain.

Tetapi bermula tahun ini, Hadi terus kecewa apabila dimaklumkan dia bukan lagi berada dalam atlit pelapis negara. Bahkan, dia juga masih tidak menerima sebarang elaun sejak 4 bulan lalu.

Bukan sekadar kecewa, malah dia turut terasa diabaikan setelah apa yang diraih sepanjang tahun lalu dipandang sepi. Apatah lagi, dia tidak tahu sebab yang kukuh kenapa disingkirkan.

Masih lagi tiada keputusan rasmi mengenai pengguguran sehinggalah mesyuarat antara Majlis Sukan Negara dan Persatuan Menembak Malaysia diadakan nanti.

Bekas penembak negara, Leftenan Komander Mohd Emran Zakaria sendiri menyifatkan Hadi seorang yang berdisiplin dan selepas kejayaannya sepanjang tahun lalu, dia tidak sepatutnya dipinggirkan begitu.

Bahkan, bagi Emran, Hadi hanya boleh dimaklumkan dia bukan lagi atlit pelapis jika diputuskan dalam mesyuarat dan tidak munasabah jika dia sudah tidak memegang gelaran itu sekarang meskipun mesyuarat masih belum diadakan.

Bukan ingin menuding jari kepada mana-mana pihak, namun isu sebegini diharap tidak akan berlanjutan dan tiada lagi atlit akan meluahkan perkara yang sama.