SKUAD Piala Thomas Malaysia menamatkan cabaran di Bangkok tersingkir di peringkat suku akhir, sekaligus gagal capai sasaran separuh akhir yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah pimpinan Datuk Seri Norza Zakaria.

Jelas sekali rasa optimistik yang dilaungkan Norza yang menegaskan Malaysia mampu cipta sejarah baharu muncul juara Piala Thomas di Bangkok tidak kesampaian sebaliknya ia terkubur di tengah jalan.

Sebenarnya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan Malaysia tersingkir awal. Saya sebelum ini sudah menyatakan skuad Piala Thomas tidak mampu pergi jauh kerana beberapa faktor. Paling utama ialah ketiadaan pemain berkualiti, aksi pemain yang tidak konsisten serta tiada program khusus untuk siangan Piala Thomas. Maka, tidak perlulah kita berasa terlalu hampa atau menangisi kegagalan ini kerana bagi saya kegagalan skuad Piala Thomas sudah tertulis sejak awal-awal lagi.

Kita masih lagi bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei yang melakukan penampilan terakhirnya di Piala Thomas. Kita meletakkan pemain muda Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan pemain berpengalaman Iskandar Zulkarnain. Malangnya tiga pemain ini belum cukup berkualiti untuk menjulang kejayaan Malaysia.

Begitu juga dalam disiplin beregu. Aksi yoyo Goh V Shem / Tan Wee Kiong selepas Sukan Olimpik Rio 2016 berterusan. Ketidakpastian pasangan beregu kedua dengan rombakan berterusan hingga saat akhir juga mencacatkan persediaan skuad negara. Kombinasi Teo Ee Yi / Aaron Chia menunjukkan ada potensi pada masa akan datang tetapi belum cukup matang dalam aksi pertama mereka di Bangkok.

Barisan jurulatih, terutama sekali Datuk Misbun Sidek diberikan tugas sukar untuk membentuk pemain perseorangan muda Zii Jia, Jun Hao setanding pemain kelas kedua dalam tempoh yang singkat. Manakala sentuhan jurulatih Cheah Soon Kit dalam beregu lelaki belum menampakkan hasil dengan lebih kerap mengaut kegagalan daripada kejayaan.

Indonesia menampilkan barisan pemain muda yang sudah mula didedahkan dua tahun sebelum ini dan sudah mula menunjukkan kematangan. Kita pula yang mengharapkan pemain muda menunjukkan kematangan dalam tempoh lima bulan adalah sesuatu yang mustahil.

Justeru kita berharap barisan pemain muda ini yang diterajui Zii Jia, Jun Hao, Soon Joo Vern serta barisan beregu Teo Ee Yi / Ong Yew Sin, Aaron Chia / Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei & Nur Izzuddin Rumsani akan mencapai kualiti dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

Itu antara sudut positif yang saya boleh lihat daripada kegagalan skuad Piala Thomas di Bangkok ini.

Selain itu kita juga tidak boleh mengharapkan sebarang kejayaan di saingan Sukan Asia 2018 Ogos ini dengan barisan pemain lelaki yang sedia ada ini, melainkan mereka menunjukkan peningkatkan luar biasa dalam tempoh lebih kurang tiga bulan.