Pelbagai kejohanan remaja dianjurkan bagi memberi platform kepada para pemain mengukur kemampuan mereka dan memberi pendedahan positif.

Bagi menghargai kejayaan Dato’ Nicol dan Beng Hee kepada sukan skuasy negara, satu kejohanan remaja skuasy didedikasikan kepada mereka iaitu Piala Ong Beng Hee dan Nicol David.

Kejohanan individu dan berpasukan untuk para pemain berusia 12 tahun ke bawah.

Edisi 2015 Persatuan Skuasy Melaka diberi mandat untuk menganjurkan kejohananan ini. Seperti biasa Jawantankuasa Penganjur yang diketuai oleh Encik Mohd Asrin Bin Salikin serta Encik Lim Boon Lye serta jawatankuasa yang lain tidak menghadapi sebarang masalah bagi memastikan kejohanan berjalan dengan lancar.

Presiden Persatuan Skuasy Melaka, Andrew Muthu berkata “Kami cukup berpengalaman menganjurkan kejohanan besar dan sikap bekerjasama di antara ahli jawatankuasa dan ibu bapa pemain adalah faktor kejohanan ini berjaya. Melaka mempunyai tradisi menghasilkan pemain terbaik negara seperti Sharon Wee, Ricky Lee dan kini Siow Yee Xian, Wong Peng Soon, Adam Agan Aziz, Andrik Lim, Nurwaffiah dan Thanusa Uthrian.

Para pemain dari pelbagai negeri berentap di Kompleks Skuasy Hang Jebat Melaka dari 20 hingga 25 Oktober 2015. Juara individu lelaki dan perempuan masing-masing ialah Mohamad Amir Amirul Bin Azhar (Kelantan) dan Kiroshanna A/P Manoharan(Negeri Sembilan).

Lebih menarik apabila kekuatan sesebuah pasukan diuji di dalam acara berpasukan. Akhirnya Pulau Pinang dinobatkan juara berpasukan lelaki manakala Kedah merangkul kejuaraan perempuan.

“Persembahan mantap oleh semua pemain. Harapan cerah bagi impian mencari juara dunia seterusnya dari Malaysia”, pendapat penuh yakin ketua jurulatih Melaka, Mohd Roslan Bin Hisam dan dipersetujui oleh rakan setugasnya Efrahim Gul.

Turut menyatakan pandangan positif kepada kualiti dan tahap prestasi para pemain ialah Ong Beng Hee yang berada di lokasi untuk menyaksikan perlawanan. Beliau turut diiringi oleh tetamu VIP antarnya YB Datuk Wira Hj. Othman Bin Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan Encik Nik Razeen Daud, Naib Presiden, Persatuan Skuasy Malaysia.