Sambil Senegal meranapkan impian Piala Dunia Afrika Selatan, Maghribi dan Tunisia menyertai Mesir, Senegal dan Nigeria menempah slot dalam Piala Dunia Russia 2018.

Tiada siapa boleh mengatakan Senegal tidak berhak – jelas sekali mereka adalah pasukan terbaik dalam Kumpulan D kelayakan Afrika, dengan rentetan tanpa kalah dalam lima perlawanan.

Tapi salah satu pasukan yang tersingkir, Afrika Selatan, tidak mungkin mengalami nasib lebih buruk. Afrika Selatan menundukkan Senegal 2-1 pada November 2016 tetapi keputusan itu hanya bertahan selama 10 bulan.

Seperti apa yang didapati kemudian, pengadil perlawanan itu cuba menentukan keputusan untuk memihak kepada Afrika Selatan, yang bagaimanapun langsung tidak diketahui skuad Bafana Bafana itu.

Namun, disebabkan pengadil cuba memanipulasi keputusan perlawanan itu – di sebalik tiada mana-mana daripada kedua-dua pasukan itu terbabit sama – FIFA menarik balik tiga mata daripada Afrika Selatan dan mengarahkan perlawanan ulangan diadakan.

Malang buat Afrika Selatan, Senegal yang menang 2-0, dengan Sadio Mane membuka peluang buat gol pertama Diafra Sakho disusuli satu gol sendiri lawan.

Demikianlah bagaimana Afrika Selatan tersingkir – dengan satu kemenangan dirampas daripadanya di sebalik mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dan terpaksa pula menerima aib gol sendiri dalam perlawanan penentuan.

Bola sepak antarabangsa ada kalanya sangat kejam.

AFRIKA

TUNISIA memastikan mereka mengungguli kumpulan kelayakan dengan kempen tanpa sebarang kekalahan.

Kini mereka akan kembali ke kancah Piala Dunia selepas kemarau 12 tahun dan bakal melakukan penampilan kelima dalam pusingan akhir. Namun, mereka tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.

Nabil Maaloul – dalam tempoh keduanya selaku ketua jurulatih – akan mengemudi pasukan ini di Russia manakala bek tengah berusia 28 tahun, Aymen Abdennour, yang ketika ini dipinjamkan di Marseille daripada Valencia, adalah antara tonggak utama.

MESIR menimbulkan suasana pesta di negaranya apabila mengungguli kumpulan mereka untuk menempah slot ke pusingan akhir buat kali pertama selepas 28 tahun.

Russia 2018 akan menjadi penampilan ketiga keseluruhan buat mereka dan akan dikemudi oleh jurulatih dari Argentina, Hector Cuper, yang mengambil alih teraju pasukan pada 2015.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, tidak syak lagi adalah bintang utama pasukan ini, dengan 32 gol dalam 56 perlawanan antarabangsa, di samping pemain Arsenal, Mohamed Elneny, selaku tonggak barisan tengah.

NIGERIA menempah penampilan keenam dalam pusingan akhir Piala Dunia dengan mengungguli kumpulan mereka.

Di bawah pengendalian jurulatih dari Jerman, Gernot Rohr, skuad Super Eagles ini memiliki bakat-bakat muda cemerlang dalam pasukan, termasuk penyerang berusia 21 tahun Arsenal, Alex Iwobi.

Mereka juga boleh bergantung kepada pengalaman kapten berusia 30 tahun, John Obi Mikel.

Nigeria mara hingga ke pusingan 16 di Brazil pada 2014 apabila mereka tewas 0-2 kepada Perancis.

MAGHRIBI mengetepikan pasukan pilihan, Ivory Coast, dalam kumpulannya hasil kemenangan 2-0 dalam perlawanan penentuan di tempat lawan.

Lebih menakjubkan, mereka tidak bolos sebarang gol dalam pusingan kelayakan, dengan kaptennya yang berusia 30 tahun, Medhi Benatia, daripada kelab gergasi Itali, Juventus, memainkan peranan besar dalam keampuhan benteng mereka.

Maghribi akan melakukan penampilan pertama dalam pusingan akhir dalam tempoh 20 tahun di bawah pengendalian jurulatih dari Perancis, Herve Renard, yang pernah mengendalikan Zambia dan Ivory Coast.

SENEGAL melepasi peringkat kumpulan kelayakannya dengan cara penuh kontroversi selepas FIFA memutuskan satu perlawanan menentang Afrika Selatan tahun lalu, yang dimenangi Senegal 2-0, perlu dijalankan semula gara-gara pengadil perlawanan itu yang korup.

Mereka menerbalikkan keputusan itu dalam perlawanan ulangan berkenaan pada November lalu dan menjuarai kumpulan mengatasi Burkina Faso untuk layak buat kali kedua ke pusingan akhir Piala Dunia dan yang pertama sejak 2002, apabila mereka mara hingga ke suku akhir.

Senegal, pasukan di ranking nombor 32 dunia, yang dapat berbangga dengan penyerang Liverpool, Sadio Mane, dalam kesebelasannya, dilatih oleh bekas pemain antarabangsanya, Aliou Cisse.

(BERSAMBUNG)