ENGLAND mengungguli kumpulannya tanpa sebarang kekalahan, dengan lapan kemenangan dan dua seri.

Selepas gangguan awal berikutan jurulatih, Sam Allardyce, terpaksa melepaskan jawatan gara-gara satu pendedahan oleh sebuah akhbar, penggantinya Gareth Southgate mengemudi mereka ke pusingan akhir dengan meyakinkan.

England boleh berbangga dengan pertahanan paling ampuh dalam kalangan semua pasukan Eropah yang layak, dengan dibolosi hanya tiga gol di samping berbangga dengan bakat muda menarik, termasuk Dele Alli, Harry Kane dan Marcus Rashford.

Juara 1966 itu akan tampil dalam Piala Dunia buat kali ke-15 tapi seperti selalunya, mereka tidak dijangka mara jauh di Russia.

SEPANYOL, juara dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, rata-rata tidak banyak bermasalah untuk layak ke Russia, dengan hanya keciciran mata dalam keputusan seri dengan Itali di tempat lawan.

La Roja sebenarnya sedang dibina semula di bawah pengawasan jurulatih, Julen Lopetegui, selepas kempen mengecewakan dalam Piala Dunia 2014 ketika tersingkir di peringkat kumpulan lagi selain penyingkiran dalam pusingan 16 Euro 2016.

Namun, mereka masih boleh menyandarkan harapan kepada perancang veteran, Andres Iniesta, di samping bakat muda cemerlang pada pasangan Real Madrid, Isco dan Marco Asensio. Russia 2018 akan menjadi penampilan ke-15 mereka dalam Piala Dunia.

BELGIUM adalah pasukan Eropah pertama yang mengesahkan kelayakan ke Russia, dengan satu-satunya ketidaksempurnaan ialah keputusan seri 1-1 dengan Greece di halaman sendiri.

Barisan ‘Generasi Emas’ negara itu yang dibimbing oleh jurulatih berbangsa Sepanyol, Roberto Martinez,berharap untuk menyinar di Russia 2018 selepas kempen Euro 2016 yang mengecewakan apabila disingkirkan Wales dalam suku akhir.

Pasukan di tangga kelima dunia ini diperkuatkan dengan kebanjiran bintang, khususnya pemain tengah, Kevin De Bruyne dan Eden Hazard, serta penyerang, Romelu Lukaku. Belgium sudah tampil dalam 12 Piala Dunia sebelumnya.

ICELAND, selaku pasukan underdog, memenangi hati ramai dengan persembahan menakjubkan dalam Euro 2016 apabila melakukan kejutan menyingkirkan England sebelum rebah kepada tuan rumah, Perancis, dalam suku akhir.

Mereka terus menidakkan status pasukan kerdil dalam kempen kelayakan ke Russia 2018, dengan negara berpenduduk hanya 330,000 orang itu tampil selaku negara paling kecil layak ke pusingan akhir Piala Dunia.

Menepati merit, Iceland mengunggguli kumpulan kelayakan yang turut mengandungi Croatia, Ukraine dan Turki, dan harus mendapat sokongan ramai musim panas nanti.

SWEDEN mengisi tangga kedua Kumpulan A di belakang Perancis, dan memintas Belanda untuk merebut tempat ke saingan play-off – di mana mereka menyingkirkan Itali dengan agregat 1-0 untuk Azzurri terlepas ke Piala Dunia buat kali pertama dalam 60 tahun.

Di kala pasukan kendalian jurulatih, Jan Andersson, ini tidak dijangka melakar banyak kejutan di Russia, mereka akan menjadi lawan yang liat untuk ditundukkan.

Tewas dalam final 1958 selaku tuan rumah di samping menduduki tempat ketiga pada 1950 and 1994; pusingan akhir di Russia 2018 akan menandakan penampilan ke-12 mereka.

SWITZERLAND hampir melayakkan diri secara automatik tetapi kesudahannya terpaksa bergantung kepada kemenangan agregat 1-0 ke atas Ireland Utara untuk turut serta.

Kini di tangga ke-11 dunia, pasukan kendalian jurulatih, Vladimir Petkovic, ini memiliki kualiti pada pemain tengah Stoke City, Xherdan Shaqiri, yang berupaya menghadirkan keajaiban.

Ini akan menjadi penampilan ke-11 Switzerland dalam pusingan akhir Piala Dunia.

CROATIA layak melalui play-off setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Iceland. Luka Modric dan rakan-rakan mengetepikan Greece – menang 4-1 di tempat sendiri sebelum memaksa keputusan seri 0-0 di Piraeus.

Mereka kini mengisi ranking ke-18 dunia dan akan membuat penampilan kelima dalam pusingan akhir Piala Dunia.

DENMARK turut layak melalui saingan play-off selepas menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Poland, untuk melakukan perhitungan terakhir dengan Republik Ireland.

Christian Eriksen adalah hero Denmark apabila hatriknya dalam perlawanan peringkat kedua di Dublin membantu pasukannya kepada kemenangan agregat 5-1.

Pemain perancang Tottenham, Eriksen, adalah tonggak utama pasukan, yang dibuktikan dengan 11 golnya dalam kempen kelayakan.

Denmark adalah pasukan nombor 19 dunia dan akan melakukan penampilan kelima dalam pusingan akhir Piala Dunia selepas terlepas penerbangan ke Brazil pada 2014.

(BERSAMBUNG)