Ia harus satu perjalanan yang panjang untuk ke pusingan akhir Piala Dunia Russia 2018. Buat sesetengah pasukan, ia semudah bersiar-siar di taman sambil untuk sebahagian yang lain pula, laluan mereka disukarkan pelbagai onak dan duri.

Sejumlah 209 pasukan terbabit dalam pusingan kelayakan kali ini – dengan keseluruhan 871 perlawanan dilangsungkan – tetapi kesudahannya, hanya 31 pasukan yang merebut tempat ke pusingan akhir untuk menyertai tuan rumah, Russia, tahun depan.

Empat negara membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini, dengan Itali selaku satu-satunya bekas juara yang gagal melayakkan diri.

Menjelang undian pusingan akhir Piala Dunia di Kremlin, 1 Disember ini, laman sesawang rt.com menyorot kemaraan setiap satu daripada 32 pasukan – daripada lima benua – seperti yang dikongsikan menerusi satu siri artikel empat bahagian kali ini.

EROPAH

RUSSIA – pasukan dengan ranking terendah daripada kesemua 32 pasukan di tangga ke-65 dunia – layak secara automatik selaku tuan rumah.

Lantaran itu, mereka dinafikan perlawanan kompetitif menuju ke pusingan akhir, dengan perlawanan rasmi terakhir mereka adalah dalam Piala Konfederasi 2017 apabila tersingkir di peringkat kumpulan lagi.

Jurulatih, Stanislav Cherchesov, 54, mengambil alih pasukan susulan penyingkiran awal daripada Euro 2016. Tiada sesiapa mengharapkan keajaiban daripada sebuah pasukan yang ketandusan kualiti ini di sebalik bintang mudanya, Alexander Golovin, 21, dipandang tinggi dan penyerang, Fyodor Smolov, dianggap berbahaya.

JERMAN, selaku juara bertahan, adalah pasukan nombor satu dunia yang mengharungi kempen kelayakan dengan memenangi kesemua 10 perlawanannya di samping menyumbat sejumlah 43 gol.

Barisan kedua jurulatih, Joachim Low, sekalipun sudah cukup untuk memenangi Piala Konfederasi 2017 di Russia. Dengan bakat besar seperti pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, dan tonggak PSG, Julian Draxler, dalam barisan utama, Die Mannschaft akan menjadi pilihan ramai untuk mengekalkan kejuaraan.

PERANCIS menjuarai kumpulannya di peringkat kelayakan, yang menyaksikan Sweden di tangga kedua dan Belanda yang menyusul di tangga ketiga, tersingkir.

Barisan bimbingan Didier Deschamps itu menyerlahkan prestasi yang bercampur-baur , dengan kemenangan ke atas Belanda di tempat sendiri dan tempat lawan tetapi tunduk kepada Sweden di samping hanya mampu seri dengan Luxembourg di tempat sendiri.

Juara Piala Dunia 1998 itu kali terakhir menghampiri kejuaraan dengan mara ke final Euro 2016 di samping berbangga dengan bintang-bintang kelas dunia pada pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, dan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann.

PORTUGAL, selaku juara Eropah, memintas Switzerland untuk mengungguli kumpulannya hasil kemenangan 2-0 dalam perlawanan terakhirnya di Lisbon. Kecuali kekalahan dalam perlawanan pembukaan kumpulan di Basel, rekod mereka tidak tercemar.

Kejayaan Portugal menjuarai Euro 2016 harus memeranjatkan ramai dan pasukan kendalian Fernando Santos ini tidak dijangka mengulangi kejayaan di Russia. Namun, mereka masih boleh bergantung harap kepada penyandang Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo.

Russia 2018 akan menjadi penampilan ketujuh Portugal dalam pusingan akhir, dengan rekod terbaik mara ke separuh akhir pada 2006.

SERBIA mengungguli kumpulannya dan hanya tewas sekali di peringkat kelayakan – 3-2 kepada Austria di tempat lawan – dalam satu kempen yang kelihatan mantap.

Hairannya, pasukan itu berpisah dengan jurulatihnya, Slavoljub Muslin, sejurus selepas melayakkan diri, dengan penolongnya, Mladen Krstajic, mengambil alih sementara. Ia akan menjadi penampilan ke-12 mereka dalam pusingan akhir (termasuk sebagai sebahagian Yugoslavia).

POLAND melayakkan diri dengan mudah. Kecuali keputusan seri dalam perlawanan pembukaan dengan Kazakhstan dan kekalahan 4-0 kepada Kazakhstan di tempat lawan, mereka memenangi baki kesemua perlawanan di peringkat kumpulan.

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, mengungguli senarai penjaring terbanyak kempen kelayakan dengan 16 gol – satu gol mengatasi Cristiano Ronaldo – dan kekal penyerang paling berbahaya.

Poland, yang menduduki tangga kelapan dalam ranking dunia, telah tampil tujuh kali dalam pusingan akhir Piala Dunia sebelum ini.


(BERSAMBUNG)