Dengan Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung tidak lama lagi, Skuad Projek 2017 di bawah bimbingan Frank Bernhardt yang mempunyai misi merangkul ibu segala pingat dilihat bakal mendapat tentangan hebat dari pasukan negara serantau.

Disebabkan itu, skuad bawah 22 tahun negara buat pertama kali akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Piala Dubai B-23 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dilihat sebagai persiapan terbaik negara sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA.

Keputusan menyertai pertandingan ini dilihat sebagai satu langkah bijak kerana skuad muda negara akan berdepan cabaran pasukan yang lebih baik seperti Arab Saudi, Jordan dan China.

Biarpun berdepan risiko tewas dan mungkin dibelasah pihak lawan dalam kejohanan ini, penulis merasakan itu semua adalah untuk mematangkan semua pemain yang bakal beraksi dalam Sukan SEA nanti.

Beraksi dalam tiga perlawanan dalam masa enam hari untuk kejohanan ini amat bagus untuk Skuad Projek yang turut akan bermain dalam pertandingan singkat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur. Ianya pasti akan menguji sejauh manakah ketahanan dan stamina pemain belia negara.

Penulis berasakan, tekanan yang dihadapi oleh Skuad Projek amat hebat apatah lagi selaku tuan rumah, tentunya harapan besar diletakkan di bahu pemain muda negara.

Biarpun tewas dalam beberapa perlawanan persahabatan terdahulu, dan mungkin juga akan tewas dalam Kejohanan Piala Dubai nanti, peminat bola sepak akan melupakan segala yang berlaku seandainya pingat emas bola sepak Sukan SEA berjaya diraih di Kuala Lumpur nanti.

Tapi jika gagal, bersedialah dengan sagala kritikan dan tohmahan yang bakal diterima kerana masyarakat kini sudah boleh menilai bagaimana sesebuah organisasi berfungsi, sesebuah perancagan berjaya atau tidak dan siapa yang pandai atau tak tahu buat kerja.