Demam skuad Harimau Malaya berakhir seketika sejurus selesai dua perlawanan membabitkan skuad negara dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu, UAE.

Berdasarkan dua perlawanan itu, skuad negara wajar diberi pujian di atas persembahan meyakinkan ketika menyaingi lawan terutama perlawanan menentang UAE selaku pasukan handalan Asia yang menghuni ranking ke-65 dunia.

Apa tidaknya, anak buah Tan Cheng Hoe hampir melakukan kejutan untuk menumbangkan 'semi finalis' Piala Asia 2019 itu ketika saya sendiri tidak menjangka pasukan negara mampu melakukannya berdasarkan rekod lalu.

Minda saya cukup terkesan dengan tragedi 0-10 di Abu Dhabi pada 2015 kerana saya menjadi saksi terhadap kekalahan terburuk skuad negara di pentas antarabangsa selepas ditugaskan membuat liputan bagi perlawanan itu.

Jadi, apa yang berlaku di Bukit Jalil pada tanggal 10 September 2019 cukup menyentuh perasaan saya. Saat gol pertama skuad negara menerusi penyerang Syafiq Ahmad ketika permainan baru berusia 36 saat, mencetuskan suasana gegak gempita di stadium.

Ia disusuli beberapa lagi asakan ke kubu lawan menerusi pergerakan menarik yang dijelmakan barisan pemain negara, terutama di bahagian kanan membabitkan gandingan Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh.

Skuad negara langsung tidak menampilkan corak permainan bertahan sebaliknya memperagakan aksi menyerang menerusi formasi 4-3-3 ketika mereka memberi cabaran jitu kepada anak buah Bert van Marwijk.

Dalam perlawanan itu juga, Marwijk yang pernah membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010, tidak senang duduk ketika melihat pasukannya diserang bertalu-talu barisan pemain negara termasuk pemain utama mereka, Omar Abdulrahman.

Jelas, hanya tuah tidak menyebelahi pasukan negara apabila kemenangan memihak lawan hasil jaringan penyerang, Ali Mabkhout, ketika pemain negara sudah memberikan aksi terbaik masing-masing dalam perlawanan itu.

Ketika perasaan saya bercampur baur dengan keputusan itu, terdetik di hati ini bahawa sebenarnya skuad negara mempunyai potensi untuk melangkah ke Piala Asia 2023 di China berdasarkan prestasi dua perlawanan setakat ini.

Seterusnya, Harimau Malaya akan berdepan Vietnam dan Thailand sebelum kembali berentap dengan empat pasukan itu dalam pusingan kedua kumpulan G dari Oktober hingga Mac tahun depan.

Ayuh Harimau Malaya, misi ke Piala Asia bukan mustahil!