SELAKU wartawan, penulis hanya berkesempatan membuat liputan Piala AFF sekali, iaitu pada 2004 untuk akhbar tabloid berbahasa Inggeris, The Malay Mail, tetapi mengikuti rapat pertandingan itu sejak ia diperkenalkan 20 tahun yang lalu.

Pada asalnya, kejohanan dwitahunan ini digelar Piala Asean atau Kejohanan Asean. Biarpun dianggap bertindih dengan Sukan SEA yang lebih glamor, Piala AFF diberi dimensi berbeza dan mendapat nilai tambah berikutan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan had umur bawah 23 tahun untuk pertandingan bercorak temasya seperti Sukan Asia dan Sukan SEA bermula pada 1998.

Sepintas lalu, penulis membawakan anda melalui terowong masa:

Edisi 1996 (Singapura)
Di sebalik kekecewaan Malaysia sekadar menjadi naib juara selepas Kiatisuk Senamuang menewaskan Khairul Azman Mohamad dengan rembatan deras yang tinggi dari luar petak penalti untuk Thailand menjulang gelaran sulung, Zainal Abidin Hassan dinobat Pemain Terbaik Kejohanan.

Bertindak selaku sweeper, Zainal menemani B. Rajanikandh dan Azmil Azali di tengah benteng sambil diapit bek kanan, Zami Mohd Noor (kemudian Nazri Yunos) dan Faizal Zainal, manakala Yap Wai Loon penghulu di tengah padang, membuka ruang buat K. Sanbagamaran serta Dollah Salleh untuk membekalkan peluang kepada Azman Adnan dan Rosdee Sulong. Khairul Azman kembali mengawal gawang selepas dua tahun dalam buangan.

Wan Jamak Hassan mengambil alih daripada Claude Le Roy yang bergegas pulang ke Perancis pada Februari 1996 selepas dikritik pengurusan tertinggi FAM, termasuk Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud yang menjadi pengurus pasukan di Sukan SEA Chiangmai. Wan Jamak yang menjadi penolong Le Roy dalam Sukan Asia di Hiroshima, mengambil alih untuk pra-Piala Asia pada Januari 1996, tidak lama selepas mendapati dirinya diganti Mazlan Hamid di Johor.

Seri 1-1 dengan Singapura, seri 1-1 dengan Thailand, berpesta gol menewaskan Filipina 7-0 dan Brunei 6-0 serta menewaskan Indonesia 3-1 pada separuh akhir, anak didik Wan Jamak melayan impian muncul juara sebelum tewas 1-0 di tangan Thailand.
Muncul naib juara dalam kejohanan yang dianggap bertindih dengan Sukan SEA, menjadi penanda aras tertinggi untuk generasi seterusnya. Malangnya, Wan Jamak meletak jawatan dan skuad negara dibubarkan susulan kekalahan mengejut kepada Laos di Sukan SEA Jakarta 1997.

Jurulatih: Wan Jamak Hassan
Kedudukan dalam kumpulan: Naib juara kumpulan
Kedudukan muktamad: Naib juara
Juara: Thailand

Edisi 1998 (Vietnam)
Dalam kekalutan selepas skuad negara dibubarkan gara-gara diaibkan di Sukan SEA 1997, FAM memutuskan untuk mengirim pasukan gabungan senior dan muda ke Piala AFF kedua.

Di tengah-tengah Hatem Souissi mengasah bakat skuad Olimpik, dia memanggil pemain senior Azmin Azram Aziz, Badrulhisham Abdullah, Moey Kok Hong (terpilih untuk kali pertama pada usia 29 tahun), V. Thinagaran, Abdul Ghani Malek, Azmi Mohamed dan Jalaluddin Jaafar untuk diadunkan dengan Tengku Hazman Raja Hassan, Khalid Jamlus, M. Gopalan dan rakan-rakan.

Tewas 4-1 kepada Terengganu beberapa hari sebelum Hatem menamakan 18 pemain adalah petanda bahawa skuad campuran itu tidak membuat persiapan ideal.
Sudahnya, Hatem menyaksikan anak buahnya tewas 2-0 kepada Singapura, seri tanpa jaringan dengan Laos dan tewas 1-0 kepada Vietnam dan akhirnya menduduki tangga ketiga dalam kumpulan.

Hatem yang berasal dari Tunisia dan tiba pada 1995 dengan tugasan Piala Dunia Remaja FIFA 1997, seterusnya dilucutkan jawatan selaku jurulatih skuad kelayakan pra-Olimpik 1999 tetapi disebabkan jumlah pampasan terlalu tinggi, jurulatih bermisai lebat itu meneruskan kempen sehingga Julai apabila anak didiknya tewas kepada Jepun. Hatem kembali ke Malaysia untuk membimbing Negeri Sembilan pada 2006.

Jurulatih: Hatem Souissi
Kedudukan dalam kumpulan: Ketiga
Kedudukan muktamad: Peringkat kumpulan
Juara: Singapura

Edisi 2000 (Thailand)
Saingan peringkat kumpulan di Songkhla hadir hanya sebulan sebelum Abdul Rahman Ibrahim menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tempoh pemerintahannya ada pasang surut – dikritik selepas Piala Dunhill 1999, diaibkan di Sukan SEA Brunei 1999 tetapi prestasi agak memberangsangkan pada pra-Piala Asia awal 2000 menyuntik keyakinan kepada Abdul Rahman bahawa misi terakhirnya harus berakhir dengan nota gemilang.

Dengan B. Rajanikandh dan Khairil Zainal serta Ghani Malik di tengah benteng, Rosdi Talib di bek kiri manakala Azman Adnan kembali ke pangkuan skuad negara selepas dua tahun, Abdul Rahman seolah-olah ada resipi untuk kejayaan.

Opsyen yang ada di tangan Abdul Rahman luas. Adanya Rusdi Suparman, Hairuddin Omar dan Nizaruddin Yusof selaku pilihan di jentera serangan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Bobby Pian serta R. Suresh Kumar menjana enjin tengah, maka Abdul Rahman tidak teragak-agak memberi ruang kepada Ali Tahar sebagai bek kanan dan Jaafar Salleh selaku muka baharu di sayap kanan.

Seri tanpa jaringan dengan Vietnam, menang 5-0 ke atas Laos dan menewaskan Kemboja 3-2 sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan menumpaskan Singapura 1-0 dalam pertembungan yang dianggap “Battle of Songkhla”, Malaysia menempah tiket ke separuh akhir di Stadium Rajamangala di Bangkok. Sayangnya, dua jaringan dalam tempoh lima minit hasil ledakan Kiatisuk Senamuang lantaran kesilapan Ali, disusuli larian Tawan Sripan yang berkesudahan menggegar gawang Kamarulzaman Hassan, meleburkan harapan negara.

Pasukan negara bangkit semula menewaskan Vietnam 3-0 untuk menduduki tempat ketiga tetapi ia tanda noktah buat Abdul Rahman yang kembali ke kancah tempatan dengan Selangor, manakala Allan Harris, yang asalnya dilantik mengurus skuad Bawah 19 tahun pada Oktober 1999, mengambil alih teraju skuad senior.

Jurulatih: Abdul Rahman Ibrahim
Kedudukan kumpulan: Naib juara
Kedudukan muktamad: Ketiga
Juara: Thailand

Edisi 2002 (Singapura/Indonesia)
Empat serangkai -- Hairuddin Omar di sebelah kanan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Nizaruddin Yusof di tengah dan Indra Putra Mahayuddin di kiri -- menggerunkan lawan, terbukti apabila pasukan negara membelasah Singapura 4-0 dan menewaskan Thailand 3-1 sebelum memperlahankan tempo apabila diikat Laos 1-1 dalam laluan menjuarai kumpulan.

Bayangkan kekuatan yang ada jika Amri Yahyah yang terpinggir akibat kemalangan motorsikal pada bulan puasa dan Khalid Jamlus yang digugurkan gara-gara sikapnya, namun dua bulan selepas penyertaan muram di Sukan Asia di Busan, Allan Harris memperagakan skuad dengan purata umur 21.9 tahun.

Subri Sulong di bek kanan, Norhafiz Zamani Misbah dan Kaironnisam Sahabuddin Hussain serta Nidzam Jamil di benteng tengah, Rosdi Talib, Irwan Fadzli Idrus di bahagian kiri, Tengku Hazman Raja Hassan dan K. Nanthakumar bergabung mengawal jentera tengah berserta Eddy Helmi Manan di penjuru kanan, memberi gambaran pasukan yang benar-benar seimbang.

Malangnya, skuad negara mencapai kemuncak terlalu awal, khususnya apabila menewaskan Thailand sesudah bangkit ketinggalan daripada sepakan percuma Therdsak Chaiman dan barisan muda negara akhirnya bungkam tanpa jawapan apabila Bambang Pamungkas menanduk jaringan tunggal pada separuh akhir di Jakarta.

Harris terus memanaskan kerusi untuk Sukan SEA Hanoi 2003 dan kempen pra-Olimpik 2004 sekalipun tugas skuad senior diambil alih oleh Karl Weigang dan K. Rajagobal pada awal 2004 sebelum Bertalan Bicskei tiba pada 1 Julai tahun itu.

Jurulatih: Allan Harris
Kedudukan kumpulan: Juara
Kedudukan muktamad: Keempat
Juara: Thailand

Edisi 2004 (Malaysia/Vietnam)
Selepas lima tahun merencanakan untung nasib skuad Bawah 19 tahun, 23 tahun dan senior negara, Allan Harris menyerahkan teraju kepada Bertalan Bicskei, jurulatih dari Hungary yang dilantik oleh Pengarah Teknikal FAM, Karl Weigang.

Berbeza dengan jurulatih terdahulu yang memilih pemain berasaskan kesetiaan dan kebiasaan, Bicskei memilih pemain berdasarkan prestasi semasa selepas menjelajah satu negara untuk mengenal pasti bakat, maka Mohd Nor Ismail, Ivan Yussof, Ahmad Tarmini Saiban dan Azizon Kadir diberi peluang mengintai tempat dalam kesebelasan permulaan.

Barisan yang matang di bawah kendalian Harris berpecah apabila Bicskei tidak memilih Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar atas sebab-sebab perselisihan falsafah, sebaliknya Khalid Jamlus kembali manakala Amri Yahyah dan Liew Kit Kong mendapat nafas baharu.

Menewaskan Timor Leste 5-0, menang selesa 4-1 ke atas Filipina, tewas 1-0 di tangan Myanmar sebelum bangkit menumpaskan Thailand 2-1, anak didik Bicskei berlepas ke Jakarta untuk separuh akhir pertama dengan perasaan bercampur-baur. Namun, dua jaringan Kit Kong melakar sejarah kemenangan pertama pasukan negara ke atas Indonesia di Stadium Senayan sejak 1979.

Malangnya, pertahanan negara yang diketuai Kaironnisam Sahabuddin Hussain bagai dihiris-hiris apabila banyak memberi ruang kepada Kurniawan Dwi Yulianto, Ilham Jaya Kusuma dan Boaz Salossa menerajui kemenangan 4-1 di Stadium Nasional.

Kemenangan ke atas Myanmar untuk tangga ketiga tidak mengubat kecewa.

Apabila Bicskei menyerahkan laporan 12 bulan dari Julai 2004 hingga Jun 2005 kepada FAM, dia memberi markah 50 peratus kepada anak didiknya hasil lapan kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan daripada 17 perlawanan rasmi bertaraf A, berbanding anak buah Harris sekadar dua kemenangan dan sembilan kekalahan pada 2003-2004.

Tiga perlawanan memberi kepuasan kepada Bicskei – kemenangan 2-1 ke atas Thailand di peringkat kumpulan Piala AFF, kejayaan 2-1 ke atas Indonesia dalam separuh akhir Piala AFF dan seri tanpa jaringan dengan Maghribi, naib juara Kejohanan Negara-Negara Afrika yang memenangi pingat perak dalam Sukan Perpaduan Islam pada 2005.

Bicskei akhirnya ditunjuk jalan keluar oleh FAM sesudah jawatankuasa teknikal dipengerusikan oleh Datuk Redzuan Sheikh Ahmad mendapati kekalahan 7-0 dalam separuh akhir pra-Sukan SEA pada September 2005 mengaibkan.

Jurulatih: Bertalan Bicskei
Kedudukan kumpulan: Naib juara
Kedudukan muktamad: Ketiga
Juara: Singapura

Minggu depan: Edisi 2007 hingga 2016