Hampir dua tahun berehat daripada sebarang sesi jelajah antarabangsa akibat kekangan pandemik Covid-19, WWE kembali terbang ke luar Amerika Syarikat dengan acara WWE Crown Jewel yang bakal berlangsung di Mohammed Abdu Arena di Riyadh, Arab Saudi pada tengah malam Jumaat ini waktu Malaysia.

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan dua jaguh terulung WWE iaitu Brock Lesnar dengan Juara Universal WWE Roman Reigns dengan kejuaraan milik Roman menjadi taruhan. Setelah memegang gelaran ini selama lebih 400 hari, kini gelaran yang disandang The Tribal Chief ibarat telur di hujung tanduk kerana perlu mendepani cabaran yang tidak boleh dipandang enteng daripada The Beast yang juga merupakan bekas Juara Universal WWE paling lama dalam sejarah iaitu selama 504 hari.

Apa yang menjadikan perlawanan ini tambah menarik, ia adalah perlawanan pertama membabitkan Brock Lesnar setelah kali terakhir beraksi di acara WWE Wrestlemania edisi ke 36 pada tahun lalu dan terus menyepi selepas itu. Ketiadaan kelibat Brock membuatkan penasihatnya Paul Heyman beralih arah dengan bersekutu dengan Roman seterusnya melakar kejayaan demi kejayaan di Smackdown. Kemunculan semula Brock di acara WWE Summerslam Ogos lalu menyebabkan Heyman tidak keruan kerana perlu terus berada di samping Roman biar pun belum secara rasmi memutuskan kerjasama dengan The Beast.


Untuk rekod, Brock dan Roman telah bertemu dalam 6 perlawanan sebelum ini dengan 3 perlawanan satu lawan satu, 2 perlawanan tiga penjuru dan 1 perlawanan 4 penjuru. Brock mempunyai kelebihan 1 kemenangan berbanding Roman dengan 3 perlawanan dimenanginya dan 2 perlawanan berpihak kepada Roman. Namun harus diingat, kesemua perlawanan sebelum ini menampilkan Roman sebagai bintang suka ramai. Berbeza pada pertemuan kali ini, Roman membawa peranan sebagai bintang berhaluan kiri manakala Brock pula lebih mendapat sorakan daripada WWE Universe. Sudah tentu Roman akan melakukan apa sahaja bagi memastikan bengkung kejuaraan Universal terus tersandang di bahunya termasuk mendapatkan bantuan daripada sepupu merangkap balacinya, The Usos.


Satu lagi perlawanan menarik yang bakal berlangsung adalah pertemuan semula Bobby Lashley dengan bintang legenda Goldberg. Setelah tewas dan gagal merampas Kejuaraan WWE daripada Lashley di acara Summerslam lalu, amarah Goldberg belum terpadam kerana masih berdendam atas tindakan The All Mighty yang tergamak melakukan Hurt Lock ke atas anak lelaki tunggalnya Gage pasca perlawanan.

Syarat yang diletakkan Lashley agar perlawanan ini dijalankan tanpa sekatan undang-undang disambut dengan berlapang dada oleh Goldberg. Tanpa sebarang peraturan, Goldberg memberi amaran yang dia boleh melakukan apa sahaja ke atas Lashley dan kali ini anak-anak bekas Juara WWE itu pula akan dirundung duka melihat ayah mereka dibelasah teruk di perlawanan ini kelak.


Acara Crown Jewel kali ini juga akan menampilkan perlawanan Hell In A Cell bagi menyelesaikan sengketa di antara Seth Rollins dan bintang Hall of Fame Edge. Setelah apa yang Seth lakukan ke atas Edge beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan The Rated R Superstar terpaksa dikejarkan ke hospital termasuk menceroboh ke kediaman Edge, tiada apa lagi yang mampu membendung kemarahan Edge terhadap Rollins dan hanya Sangkar Neraka dapat dijadikan ruang untuk melampiaskan segala kesumat yang terbuku di dada Edge selama ini.



Takhta King Of The Ring dan Queen’s Crown juga akan ditabalkan kepada pemenang kejohanan ini di acara Crown Jewel. Xavier Woods akan berhadapan dengan Finn Balor untuk singgahsana Raja Gelanggang manakala Zelina Vega pula akan menentang cabaran daripada bintang baharu sensasi DouDrop untuk perlawanan akhir bagi merebut mahkota King Of The Ring edisi wanita, Queen’s Crown.

Manakala buat pertama kali dalam sejarah, dua bintang Muslim akan berentap buat julung-julung kalinya dengan menyaksikan Mustafa Ali bakal menerima cabaran daripada jaguh kelahiran Arab Saudi iaitu Mansoor. Setelah gandingan mereka sebagai pasangan beregu gagal mencapai persefahaman, kini kedua mereka akan beradu kekuatan bagi menentukan siapakah yang lebih hebat di antara mereka.


Perlawanan lain yang bakal berlangsung di acara WWE Crown Jewel:
1. Juara WWE Big E menerima cabaran daripada Drew McIntyre
2. Juara Wanita Smackdown Becky Lynch berentap tiga penjuru dengan Sasha Banks dan Bianca Belair untuk kejuaraan Wanita Smackdown
3. RK-Bro (Randy Orton & Riddle) menentang AJ Styles & Omos untuk Kejuaraan Beregu Raw

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Crown Jewel pada 22 Oktober 2021, Jumaat jam 12.00 tengah malam dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.