Kegagalan dalam sukan bertemasya tahun ini membuka banyak pekung persatuan.

Sikap menyambalewa persatuan terhadap pasca sukan bertemasya seharusnya ditangani lebih awal tanpa perlu menunggu edisi berikutnya.

Tahun ini, tiga temasya membabitkan kontinjen besar negara seperti Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang yang disifatkan sebagai satu kegagalan mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Program Podium.

Bahkan, Sukan Malaysia (Sukma) Perak turut terpalit dengan beberapa isu tabu dalam kalangan atlet sendiri.

Sukan Asia, khususnya, menjadi platform kepada beberapa jenis sukan untuk mendapatkan publisiti lebih meluas selain faktor pendedahan selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah berbeza kali ini dengan menawarkan sukan kategori A, B dan C.

Secara keseluruhan, 241 atlet tersenarai dalam kategori B ketika saingan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 18 Ogos-2 September lalu.

Perkiraannya mudah, mereka yang terlibat selain daripada kategori A, perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan kos itu hanya akan dikembalikan MOM sekiranya mereka berjaya membutirkan pingat.

Daripada jumlah berkenaan, hanya atlet ekuestrian, Qabil Ambak Mahamad Fathil, meraih pingat perak menerusi saingan dressage serta gangsa menerusi Mohd Hazim Amzad bagi acara pencak silat kategori C bawah 60 kilogram.

Sehubungan itu, beberapa persatuan telah merayu agar atlet mereka diberi peluang mengikuti pertandingan, namun di sebalik semangat berkobar-kobar, atlet mereka berdepan risiko besar sekiranya menjadi belasahan pihak lawan yang jauh lebih berkaliber.

Lihat sahaja nasib yang menimpa peserta papan selaju negara dalam Sukan Asia, Fatin Syahirah Roszizi.

Didorong semangat bahawa papan selaju akan melakukan penampilan sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, ia menjadi modal terbaik untuk menyelitkan kontinjen sukan ekstrem.

Namun, kecaman teruk mendorong Fatin untuk menutup akaun laman sosialnya sehingga mendapat perhatian peluncur legenda, Tony Hawks.

Nasib barisan pendaki negara juga hampir sama apabila mendedahkan Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) tiada program kesinambungan selepas Sukan Asia tetapi hakikatnya, masalah itu sudah dikesan dari awal lagi.

Dalam pemilihan atlet ke Sukan Asia, berapa banyakkah kejohanan atau sesi pemilihan untuk mengenal pasti atlet berpotensi bagi menghadapi kejohanan utama, itu belum lagi menyentuh soal persiapan akhir.

Itulah yang terjadi sedangkan kita masih ketinggalan dalam revolusi sukan mendaki sedangkan peserta negara lain sudah pun menyesuaikan diri dengan landasan pendakian moden.

Justeru, selepas ini adalah lebih baik MOM mengenal pasti perjalanan sesebuah persatuan itu terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka menyertai kejohanan utama.

Adalah lebih baik bagi sukan bukan tradisi yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, mereka berjuang untuk menganjurkannya dalam Sukma terlebih dahulu untuk mengkaji potensi tempatan.

Jika tiada kesinambungan, kitaran sukan seperti papan luncur dan mendaki akan sentiasa bermula dari bawah.