13 tahun lalu, salah satu kontroversi terbesar berlaku dalam perlawanan Chelsea menentang Barcelona di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2009.

Perlawanan itu menyaksikan pelbagai keputusan pengadil yang seakan-akan berat sebelah memihak Barcelona, terutama menidakkan pemberian penalti sebanyak empat kali buat Chelsea hinggalah akhirnya mereka tumpas kepada gol minit terakhir Andres Iniesta.

Sejak itu, permusuhan di antara Chelsea dan Barcelona tidak pernah reda.

Dalam jendela perpindahan musim ini, nampaknya permusuhan itu berlangsung semula di luar padang.

Pemain-pemain yang menjadi sasaran Chelsea turut sama diintai oleh Barcelona, dan kelab Sepanyol itu tidak ragu-ragu untuk melakukan rampasan pada saat-saat akhir.

Beberapa minggu lalu, pemain sayap Leeds United, Raphinha, dikatakan terlebih dahulu bersetuju menyertai Chelsea tetapi mengubah fikiran apabila mengetahui Barcelona turut sama menagih khidmatnya.

Menurut pelbagai sumber media, dia dikatakan sanggup menunggu lebih lama dan memperjudikan nasib, semata-mata demi menyarung jersi merah biru La Blaugrana, dan impian itu akhirnya tercapai.

Berdasarkan laporan lanjut sumber-sumber yang sama, skrip serupa bakal berulang dengan seorang lagi pemain sasaran Chelsea, Jules Kounde dari Sevilla.

Biarpun Chelsea telah berunding selama berminggu-minggu dengan Sevilla bagi mendapatkan Kounde, pengurus Barcelona, Xavi, dikatakan telah lama mengambil langkah lanjut dengan menelefon Kounde setiap hari demi menunjukkan minat Barcelona terhadapnya.

Di mata Chelsea, Kounde dipercayai hanyalah pemain pertahanan pilihan ketiga mereka di belakang Matthijs de Ligt dan Kalidou Koulibaly.

Setelah de Ligt memilih untuk menyertai Bayern Munich dan Koulibaly berjaya didapatkan, barulah Chelsea memberikan perhatian penuh kepada Kounde, dan perkara ini semestinya tidak disenangi oleh pemain itu.

Dengan perkembangan ini, Chelsea diramalkan bakal menyukarkan usaha Barcelona untuk mendapatkan Cesar Azpilicueta dan Marcos Alonso, dua pemain pasukan mereka yang turut diintai oleh La Blaugrana, sebagai balasan atas tindakan kelab Sepanyol tersebut.



Ironi dalam episod ini cukup nyata.

Chelsea merupakan kelab dengan wang yang banyak, disebabkan oleh suntikan wang daripada pemilik baru mereka manakala Barcelona pula diketahui umum sedang bergelut dengan faktor kewangan, namun kelab itu tetap menjadi pilihan ramai.

Jelaslah dalam dunia bola sepak, wang semata-mata tidak menjanjikan pulangan yang terjamin tetapi reputasi dan keyakinan terhadap masa depan pasukan dilihat sebagai perkara utama.

Xavi berjaya mendapatkan Robert Lewandowski setelah menjelaskan rancangan dan visi beliau tentang perancangan jangka panjang Barcelona.

Mungkinkah kekurangan aspek itu merupakan punca Chelsea terperangkap dalam keadaan mereka ketika ini?