Sebelum bermula perlawanan diantara Manchester United berdepan Newcastle United, berbagai spekulasi timbul dengan ada yang mengatakan andai tewas, Mourinho akan ditunjukkan jalan keluar.

Ada pula yang mengatakan bahawa pemain-pemain akan memboikot Jose Mourinho dan memastikan jurulatih itu disingkirkan dari Kem United.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dalam aksi di Old Trafford.

Bermula hambar apabila ketinggalan 0 – 2, tidak ramai yang percaya bahawa The Red Devils mampu menterbalikkan keputusan menjadi 3-2 dengan tiga gol sumbangan Juan Mata, Anthony Martial dan Alexis Sanchez pada babak kedua.

Melihat raut wajah Jose Mourinho yang sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera sepanjang perlawanan, terlihat kelegaan apabila gol minit-minit akhir bintang Chile, Sanchez bukan sahaja memberikan United 3 mata berharga, tetapi secara tidak langsung menaikkan kembali semangat di Kem United yang dahagakan kemenangan selepas tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir.

Persembahan cemerlang kesemua pemain pada babak kedua membuktikan bahawa krisis di Kem United mampu diatasi dan ya, para pemain membuktikan di atas padang bahawa mereka adalah pemain bola sepak yang sebenar. Kerana sebelum ini, lagenda United , Roy Keane mengkritik para pemain United yang dikatakan tidak layak menyarung jersi United jika gagal bekerjasama baik dengan pengurus mereka.

Dayang memang teruja melihat kebangkitan di Old Trafford sewaktu menumbangkan Newcastle United. Sudah lama rasanya tidak melihat United beraksi menyerang dengan begitu agresif terutama sekali pada 10 minit terakhir perlawanan. Ada juga laporan media antarabangsa yang mengatakan, taktikal pada babak kedua diilhamkan oleh para pemain United dalam bilik persalinan dan Mourinho bersetuju dengan cadangan para pemainnya.

Dengan Chelsea dan Juventus akan menjadi lawan United dalam dua perlawanan akan datang, kemenangan ini merupakan tonik terbaik buat Antonio Valencia dan rakan-rakan memandangkan kedua-dua lawan itu sedang berada pada prestasi terbaik