Kecewa, sedih dan tidak mampu berkata apa-apa selepas menyaksikan mutu permainan disajikan anak buah Frank Bernhardt yang seperti terpukau melihat aksi hebat pasukan bawah 23 tahun Vietnam.

Penulis sudah menghidu pasukan bawah 22 tahun negara akan tewas kepada Vietnam sebelum tiba ke Ho Chin Minh tetapi tidak sangka akan tumbang dengan angka jaringan yang boleh dianggap begitu besar.

Sebenarnya, skuad negara boleh dibelasah lebih teruk namun mujur banyak peluang disia-siakan oleh barisan serangan Vietnam yang diketuai ketua pasukan, Nguyen Cong Phuong.

Jika tidak, skuad negara akan pulang dengan keputusan lebih memalukan dan sudah tentu Bernhardt seperti cacing kepanasan menghadapi kenyataan.

Namun, jangan lupa peribahasa mengatakan 'sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya' yang bermakna kekalahan pasukan negara mempunyai kaitan dengan tahap persiapan yang seperti caca marba.

Apa lagi yang boleh diperkatakan kalau majoriti pemain-pemain baharu sahaja beraksi pada Sabtu lalu malahan ada dua pemain, Adib Zainuddin serta N. Thanabalan, terus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik aksi mereka bersama Felcra FC berakhir di sebelah lewat petang?

Jika pemain lain berada di tempat mereka, realitinya tetap sama iaitu tahap kecergasan mereka boleh dipersoalkan tetapi itulah situasi pahit yang mungkin akan dirasai Frank Bernhardt pada masa mendatang.

Pada bulan depan, semua pemain akan beraksi di kejohanan jemputan iaitu Piala Dubai dari 20 hingga 28 Mac dan masalah yang sama dijangka akan timbul sekali lagi.

Difahamkan aksi terakhir Liga Super ialah pada 18 Mac iaitu tarikh yang sama skuad Bawah 22 tahun akan bertolak ke Dubai, jadi adakah semua pasukan sudi memberi lampu hijau melepaskan pemain mereka?

Kejohanan ini dilihat medan terbaik buat Frank Bernhardt menguji karakter pemainnya untuk beraksi di pentas tertinggi kerana Malaysia telah diundi satu kumpulan bersama jagoan Asia seperti Jordan, Arab Saudi dan China.

Amatlah rugi jika masih ada pasukan mementingkan diri sendiri dengan alasan kekurangan pemain seolah-olah mengetepikan kepentingan negara.

Buat Frank Bernhardt, bersabarlah...kerana inilah realiti bola sepak negara Malaysia.