Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) baru sahaja mengharungi enam perlawanan, namun perlumbaan untuk merebut kasut emas sudah mula menunjukkan bibit-bibit permulaan.

Seperti musim-musim sebelumnya, persaingan antara pemain untuk muncul selaku penjaring terbanyak tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan pasukan-pasukan yang bertarung untuk menjuarai saingan liga paling kompetitif di dunia itu.

Manchester City, Tottenham Hotspur, Manchester United serta Chelsea masing-masing memiliki penyerang yang mempunyai ketajaman di depan gawang lawan setiap kali turun beraksi dan lebih menarik, wakil daripada pasukan di atas kini berkongsi jaringan terbanyak dengan enam gol kecuali Harry Kane yang baru memperoleh empat gol.

Sergio Aguero berhadapan dengan persaingan merebut tempat bagi musim ini selepas kembalinya Gabriel Jesus yang mengalami kecederaan panjang pada tahun lalu tetapi pengalaman selama enam tahun dalam EPL membolehkan penyerang Argentina itu tidak menghadapi masalah untuk terus menjaringkan gol apabila diberikan peluang beraksi oleh pengendali, Pep Guardiola.



Lebih menarik, dia mencatat hatrik pertama bagi saingan 2017/18 ketika menewaskan Watford pada 16 September lalu, sebelum penyerang Chelsea, Alvaro Morata, mengikut jejak langkahnya dengan tiga jaringan ketika membenam cabaran Stoke City 3-0, Sabtu lalu.

Tindakan Antonio Conte mendapatkan Alvaro Morata daripada Real Madrid pada awalnya mengundang pelbagai persepsi negatif dalam kalangan peminat bola sepak, termasuk penyokong skuad The Blues, namun hatrik di Stadium Bet365 menceritakan kualiti sebenar yang dimiliki penggempur Sepanyol itu.

Cerita berbeza ditampilkan penyerang Belgium, Romelu Lukaku, yang menempatkan diri dalam senarai penjaring dalam setiap perlawanan liga buat United kecuali ketika menewaskan Leicester City dalam aksi yang menyaksikan bekas penyerang Everton itu terlepas peluang menerusi sepakan penalti yang dinafikan oleh Kasper Schmeichel.

Bagaimana dengan pemenang kasut emas EPL dua tahun berturut-turut, Kane?



Kane meledakkan 25 jaringan dua tahun lalu sebelum menambah empat lagi pada musim lepas untuk mengungguli carta penjaring EPL selama dua tahun berturut-turut, namun saingan kali ini menyaksikan penyerang England itu menghadapi satu masalah, iaitu badi di Wembley.

Sebenarnya, dia sudah pun menjaringkan gol di gelanggang keramat England itu tetapi jaringan itu dilakukan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketika menewaskan Borussia Dortmund. Selepas tiga perlawanan liga di Wembley, Kane masih belum dapat menjaringkan sebarang gol buat Spurs.

Itu mungkin hanya satu mitos yang sedikit pun tidak membuatkan kepercayaan pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, terhadap Kane terhakis dan jika diimbas statistik musim-musim lalu, Kane terkenal dengan istilah “lambat panas” dan ia terbukti apabila dia meledak hatrik ketika menumbangkan APOEL 3-0 dalam aksi kedua UCL, baru-baru ini.

Morata, Lukaku, Aguero dan Kane pastinya menggalas tanggungjawab besar, perlu memastikan setiap peluang yang terhidang dimanfaatkan sepenuhnya.



Bukan mahu menafikan peluang penyerang lain seperti Jamie Vardy (Leicester City), Alexandre Lacazette (Arsenal) dan Roberto Firmino (Liverpool), tetapi empat penyerang daripada pasukan yang berada di kedudukan empat teratas dilihat lebih konsisten untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, sekaligus meningkatkan kebarangkalian untuk menjaringkan gol dengan lebih kerap.

Yang pasti, perlumbaan merebut kasut emas di England sudah pun bermula dan buktinya, peminat-peminat bola sepak seluruh dunia bertegang urat setiap minggu memikirkan siapa antara empat penyerang itu yang wajar dipilih membarisi skuad Fantasy Premier League (FPL) mereka dan diletakkan sebagai ketua pasukan.