Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia kini memungkinkan pelbagai pihak untuk keluar dari kepompong keselesaan masing-masing. Untuk terus melangkah ke hadapan, inovasi harus dicipta bagi memastikan kelangsungan hidup demi hari mendatang. Terma ‘norma baharu’ kini digunapakai bagi menggambarkan perubahan yang berlaku dan sama ada suka atau pun tidak, kita harus menerimanya bagi memenuhi kehendak perubahan yang sedang berlaku.

Sebagai sebuah gergasi sukan hiburan, WWE sendiri tidak terkecuali daripada terkesan dengan mehnah yang disebabkan virus yang tidak mengenal erti belas kasihan ini. Betapa sebelum ini WWE sebagai organisasi yang mendominasi sukan gusti profesional boleh berbangga dengan rekod kehadiran penonton yang membanjiri setiap arena mereka sejak berdekad yang lalu.

Setakat jumlah lima angka kehadiran peminat untuk setiap acara, ia ibarat satu kelaziman yang biasa dan tidak perlu dihairankan lagi. Bahkan acara Wrestemania 32 yang berlangsung di AT&T Stadium di Arlington Texas pada 2016 mencatat rekod kehadiran penonton paling ramai dalam sejarah iaitu 101,763 orang penonton. Ia memecahkan rekod kehadiran penonton di acara Wrestlemania III pada tahun 1987 di Pontiac Silverdome, Michigan iaitu 93,173 orang penonton yang begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan utama di antara Hulk Hogan dan Andre The Giant bagi perebutan bengkung kejuaraan dunia WWE.

Namun siapa mampu menjangka apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, acara Wrestlemania edisi ke-36 pada tahun 2020 telah berlangsung tanpa seorang pun penonton dan terpaksa diadakan di ruang tertutup iaitu hanya di pusat latihan mereka di Florida. Acara yang pada asalnya dijadualkan di Raymond James Stadium, Tampa yang sepatutnya mampu menjana bilion dolar Amerika itu terpaksa diubah tanpa kehadiran penonton, sekaligus menyebabkan WWE terpaksa menyusun semula strategi perniagaan mereka yang sebelum ini berorientasikan jualan tiket ke setiap acara mereka kepada sesuatu yang lebih dramatik bagi mengekalkan momentum keterujaan WWE Universe.

Justeru, corak perlawanan unik, segar dan keluar daripada kebiasaan dihidangkan kepada peminat. Ia bagi menghadirkan elemen luar jangka dan membuatkan perlawanan tersebut menjadi sohor kini (trending) di laman-laman sosial, serta menjadi topik perdebatan hangat di kalangan peminat gusti di seluruh dunia.



Boneyard Match di antara AJ Styles dan The Undertaker membuatkan para peminat melahirkan ekspresi yang bercampur baur. Berlatarbelakangkan kawasan tanah perkuburan sambil diiringi muzik latar yang mendebarkan, perlawanan yang boleh dijangka pemenangnya itu bertukar menjadi sebuah babak pertempuran di dalam filem. Tidak terkecuali dengan kesan bunyi, efek khas dan pelbagai lagi elemen yang dimasukkan bagi menjadikan naratif perlawanan ini tampak menarik dan tidak membosankan.

Begitu juga dengan perlawanan Firefly Fun House melibatkan The Fiend Bray Wyatt dan John Cena di hari kedua Wrestlemania tahun ini. Peminat membayangkan yang ia akan menjadi sebuah perlawanan ganas selajur mengulangi format perlawanan House of Horror di antara Wyatt dan Randy Orton di acara WWE Payback pada tahun 2017. Namun ia langsung tidak menepati jangkaan. Ia bertukar menjadi siri imbau kembali perjalanan karier John Cena sejak awal menyertai WWE dan memberikan bayangan keseronokan apa yang bakal terjadi sekiranya John Cena memilih untuk bertukar menjadi bintang berhaluan kiri dengan metafora menyertai gagasan New World Order (nWo) yang begitu popular di WCW (World Championship Wrestling) pada lewat 90-an dahulu.



Persembahan perlawanan tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi topik kontroversi di forum-forum peminat gusti. Rata-ratanya tidak begitu dapat menangkap maksud di sebalik apa yang dipersembahkan. Bercelaru, plot yang mengelirukan dan yang paling mustahak, ia bukanlah sebuah perlawanan gusti yang tipikal. Maka beberapa penganalisis terpaksa membuka gelanggang dengan memberikan sudut pandang sebenar maksud sebenar perjalanan perlawanan tersebut dan dari situ, barulah kebanyakan peminat dapat membuka mata sekaligus memuji sudut kreatif perlawanan tersebut.

Dalam temubual bersama TV Guide bagi mempromosikan Wrestlemania beberapa minggu lalu, Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Bakat, Strategi dan Pembangunan WWE merangkap penerbit NXT, Paul “Triple H” Levesque membayangkan yang lebih banyak perlawanan bercorak sinematik sebegini akan dipersembahkan WWE selepas ini. Menamakannya sebagai ‘norma baharu’ persembahan gusti di TV, situasi tidak akan kembali seperti biasa walaupun pandemik Covid 19 ini akan berakhir kelak. Suka atau tidak, pelan syarikat mesti berubah bagi memastikan produk mereka terus kekal relevan untuk jangka masa yang lebih panjang.

Jika kita menelusuri sejarah, perlawanan di luar gelanggang gusti ini sememangnya telah lama berlangsung. Seingat penulis, pertama kali menyaksikan perlawanan dengan format sebegini adalah ketika acara Wrestlemania XII pada tahun 1996 yang menyaksikan pergelutan di ruang belakang bangunan di antara bintang lagenda Roddy "Rowdy" Piper menentang Goldust yang sedang mencipta nama di WWE ketika itu. Tidak cukup dengan babak pergelutan tanpa kehadiran pengadil, penonton turut disajikan dengan babak kejar mengejar dengan kereta di antara kedua bintang gusti itu di lebuh raya sehingga ke arena tempat berlangsungnya acara. Babak yang mengingatkan semula penonton kepada insiden kejar mengejar pihak polis dengan O.J. Simpson yang menjadi buruan pihak berkuasa kerana terpalit dengan tuduhan bunuh.



Tidak cukup dengan itu, beberapa lagi perlawanan seumpamanya dipersembahkan WWE yang kebanyakannya menyamai konsep perlawanan di Hardy Compound yang diilhamkan Matt Hardy ketika bergusti di luar WWE. Konsep yang unik dan malar segar itu berjaya memancing perhatian beberapa pegawai WWE sehingga ia turut dibawa masuk untuk menjadi salah satu menu yang ditawarkan oleh WWE dalam acara-acara bayar dan tonton mereka.

Persoalannya, adakah corak perlawanan ala-ala filem ini sesuatu yang bagus dan menarik? Bagi menjawab persoalan ini, ia bukan sebuah jawapan yang statik. Suka atau tidak, menarik atau sebaliknya, ia adalah subjektif kepada yang menontonnya. Tidak dinafikan, perlawanan bercorak sinematik ini sedikit sebanyak akan mengurangkan elemen ‘realisme’ kepada peminat tegar yang selama ini gigih mempertahankan sukan ini daripada ditohmah sebagai sebuah sukan ‘tipu-tipu’ daripada golongan yang tidak menyukai sukan ini. Malah, unsur luar jangka juga akan kurang berlaku kerana kebanyakan perlawanan sebegini telah dirakam lebih awal dan melalui proses suntingan terlebih dahulu. Makanya, unsur-unsur ‘botch’ atau kesilapan tidak akan dapat dihidu penonton seterusnya tidak dapat dijadikan bahan atau modal jenaka untuk dikongsi dengan rakan peminat yang lain.

Namun dalam era perlawanan gusti tanpa penonton di arena ini, segalanya itu tidak lagi penting. Perlawanan dengan corak sebegini pastinya akan memberi banyak kelebihan kepada WWE kerana mereka tidak hanya terperangkap dalam ruang tertutup yang sama sahaja untuk setiap perlawanan yang dipersembahkan. Pelbagai lokasi kini boleh digunakan dan setiap perlawanan akan tampil lebih segar dengan atmosfera sekeliling yang berbeza.

Tidak cukup dengan itu, perlawanan pra rakaman sebegini juga mampu memberi ruang dan peluang kepada bintang-bintang lagenda untuk membuat penampilan semula. Tidak perlu lagi risau dengan tahap kecergasan dan kecerdasan untuk beraksi di hadapan ribuan penonton. Malah perlawanan-perlawanan impian yang selama ini hanya menjadi fantasi penonton mampu direalisasikan. Umpanya seperti pertembungan di antara The Undertaker dengan Sting yang sehingga kini belum menjadi kenyataan.

Sebagai peminat, perlawanan ‘norma baharu’ ini perlu kita terima dan hadam dengan hati terbuka. Sesuai dengan nama World Wrestling Entertainment, WWE bukan sekadar menyajikan perlawanan gusti, namun hiburan adalah prioriti utama kepada para peminatnya. Pokok pangkalnya, para peminat kekal terhibur walaupun tidak dapat menonton secara langsung di arena dan sekadar kekal duduk di rumah bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid 19.



Terbaru, perlawanan bagi merebut beg bimbit yang mengandungi kontrak untuk peluang merebut kejuaraan utama WWE iaitu Money In The Bank juga akan menampilkan sisi berlainan. Pada tanggal 11 Mei 2020 ini, beberapa bintang utama lelaki dan wanita dalam perlawanan berasingan akan mula berentap dari tingkat bawah ibu pejabat WWE di Menara Titan, dan masing-masing akan berlumba untuk naik ke tingkat-tingkat seterusnya sehingga ke ruang bumbung menara. Dari situ, mereka akan mendaki tangga di tengah gelanggang dan mencapai beg bimbit yang telah digantung.



Pastinya banyak kejutan yang bakal berlangsung. Cuma diharap, tiada yang tersilap langkah dengan jatuh ke bawah sepertimana yang berlaku kepada The Giant yang secara tidak sengaja ditolak ke bawah oleh Hulk Hogan ketika perlawanan Monster Truck Sumo di acara WCW Halloween Havoc 1995. Mujur tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku.

Perlawanan Money In The Bank 2020 kali ini akan membariskan Asuka, Shayna Baszler, Nia Jax, Dana Brooke, Lacey Evans atau Sasha Banks dan seorang lagi peserta yang belum dinamakan untuk perlawanan wanita. Manakala Daniel Bryan, Rey Mysterio, Aleister Black, Apollo Crews, Drew Gulak atau King Corbin dan seorang lagi peserta yang belum disahkan akan membintangi perlawanan lelaki.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Money In The Bank pada 11 Mei depan serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.