Kedudukan pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, kini semakin tergugat apabila skuad kendaliannya itu mengalami prestasi tidak menentu susulan menerima tiga kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.

Keputusan ini sudah tentunya mencetuskan kebimbangan di kem Chelsea dan mereka merasakan perubahan segera perlu dilaksanakan.

Dalam beberapa minggu terakhir, terdapat khabar angin bahawa The Blues akan melakukan rombakan jurulatih di musim panas akan datang. Pengurusan Chelsea khabarnya kecewa dengan kepimpinan ditunjukkan Sarri sehingga mereka ingin mencari pengendali baru bagi menyelamatkan mereka daripada terus ketinggalan mata daripada kelompok pasukan teratas.

Chelsea sendiri sudah menyatakan hasratnya untuk membawa masuk mantan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, yang kini masih ‘bercuti’ setelah meletak jawatan sejurus Real Madrid merangkul trofi Liga Juara-juara Eropah musim 2017/2018.

Dalam perkembangan lain, Zidane tidak mempunyai masalah untuk membina kerjayanya di Chelsea, namun ada beberapa syarat diletakkan Zidane sekiranya The Blues ingin mendapatkan khidmat beliau.

Pengendali dari Perancis itu dilaporkan meminta Chelsea menyediakan dana sebanyak 200 juta Pound bagi membolehkan beliau melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad The Blues. Dengan dana tersebut, Zidane ingin mendapatkan pemain yang benar-benar boleh bermain dalam corak permainan yang akan digunakannya nanti.

Selain itu, Zidane juga meminta pengurusan Chelsea untuk mempertahankan Eden Hazard supaya terus kekal di Stamford Bridge.

Seperti yang diketahui, kebelakangan ini Hazard dikaitkan dengan Real Madrid yang berhasrat untuk membawa pemain itu ketika musim panas akan datang.

Zidane sendiri mengakui Hazard seharusnya berada di dalam kem pembikinan beliau dan antara tonggak pemain penting yang harus dikekalkan.

Sekiranya persepakatan itu dapat dicapai beliau yakin Chelsea masih mampu diselamatkan daripada terus kehilangan mata perlawanan.Setakat ini Chelsea berada di kedudukan ke 6 dengan mengumpul sebanyak 50 mata ketinggalan 15 mata dari pendahulu liga Manchester City.