Sepertimana yang kita ketahui , perebutan kedudukan juara dunia MotoGP 2018 sudah pun diketahui apabila Marc Marquez berjaya mempertahankan kedudukan sebagai pelumba terbaik dunia kategori perdana tiga tahun berturut - turut dan ke-5 secara peribadi.

Walaupun masih lagi mempunyai dua pusingan yang akan berlangsung, kedudukan beliau sebagai pendahulu tidak akan terjejas apabila berjaya mengutip 296 mata berbanding 210 mata yang dikutip oleh Andrea Dovizioso.

Ketika ini tumpuan beralih ke arah perebutan gelaran 'top rookie' dimana persaingan tertumpu kepada pelumba negara Hafizh Syahrin dan pelumba Itali Franco Morbidelli yang menunggang jentera Honda.

Sebelum berlangsungnya GP Australia, kedudukan mereka hanya dibezakan 4 mata dan Hafizh dilihat mampu untuk memintas kedudukan semasa apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-10 petak permulaan. Namun begitu ketika perlumbaan berbaki 8 pusingan pelumba yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 itu terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Morbidelli apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8.Kini Morbidelli berada di tangga ke-14 pungutan mata dan mengumpul 46 mata keseluruhan manakala Hafizh di kedudukan ke-18 dan memperoleh 34 mata.

Peluang Hafizh untuk meraih gelaran 'Top Rookie'pada tahun ini masih lagi terbuka walaupun dibezakan dengan 12 mata dan berbaki dua perlumbaan. Perlumbaan yang seterusnya akan berlangsung di litar Sepang dan ini menjadi peluang terbaik Hafizh sekurang- kurangnya untuk merapatkan kedudukan mata.