Jika dilihat, Selangor paling mencuri tumpuan apabila berjaya mengikat 4 pemain skuad Tok Gajah iaitu Hafiz Kamal, Razman Roslan, R. Gopinathan dan Khairul Azhan, selain Patrick Ronaldinho. Namun yang paling menjadi perhatian adalah tersingkirnya Mehmet yang digantikan dengan Zainal Abidin Hassan dimana ianya merupakan situasi pelik bagi peminat bola sepak khususnya peminat The Red Giants.

Bagi JDT pula, Paolo Rangel dilihat pengganti yang sesuai bagi kekosongan yang ditinggalkan Luciano Figueroa. Biarpun pernah beraksi buat Selangor dan Terengganu, Rangel dilihat pilihan tepat kerana telah terbukti kemampuannya dalam saingan Liga Malaysia, selain pernah muncul selaku penjaring terbanyak sewaktu bersama Selangor.

Kelantan pula dilihat perlu segera mengembalikan kepercayaan peminat mereka apabila membawa masuk K. Devan selaku ketua jurulatih, dan membawa pulang 2 bekas tonggak utama mereka, Indra Putra dan Daudsu Jamaludin. Diharap isu berkaitan Syahrul Azwari dan penajaan pasukan dapat diselesaikan sebelum bermulanya liga.

Selain 3 pasukan gergasi itu, Kedah dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe turut dilihat mampu memberikan saingan. Biarpun diwakili rata rata pemain muda, namun saya percaya Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari pasti tidak rela skuad Lang Merah mudah diratah lawan. Ini ditambah dengan kembalinya Amar Rohidan dan kemasukan penyerang kebangsaan, Fakri Saarani tentunya mampu menyuntik semangat Skuad Hijau Kuning.

Apa yang pasti, saingan liga super 2016 akan lebih menyengat ditambah pula dengan penswastaan liga, dan pertukaran nama pasukan negeri menjadi pasukan berstatus kelab.