Adakah logik Morten Frost-Hansen mahu membunuh angsanya yang bertelur emas?

Dalam sengketa terbaru di antara Datuk Lee Chong Wei dan Frost, apa yang paling dikhuatiri ialah ia sampai ke peringkat salah seorang perlu keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi meredakan ketegangan yang ada.

Jika itu yang berlaku, ia akan menjadi kerugian besar buat badminton negara tanpa mengira siapa pun di antara kedua-duanya yang “dikambinghitamkan”.

Setakat ini, Chong Wei – pemain perseorangan Malaysia yang paling berjaya dalam era 2000-an – sudah pun mengeluarkan kata duanya yang seakan-akan bermaksud “dengar kata saya berbanding Frost atau saya keluar dari BAM”.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu memberi gambaran seolah-olah dia sudah tidak tertahan lagi dengan apa yang didakwanya keputusan dan tindakan Frost yang berbaur keangkuhan dan penindasan.

Namun, Frost – pengarah teknikal BAM sejak Januari 2015 -- berpegang kepada tuntutan sebagai seorang profesional tulen, dengan memilih untuk tidak menjawab dakwaan itu demi tidak mengusut dan mengeruhkan lagi keadaan.

Bukanlah bermaksud untuk lebih mempercayai Frost dan membelakangkan Chong Wei, namun harus ada lebih lagi di sebalik apa yang sebenarnya berlaku – berbanding apa yang ditonton dan dibaca ramai, apatah lagi setakat ini ia hanya berkisar kepada kenyataan sebelah pihak daripada pemain itu semata-mata.

Harus juga difahami Chong Wei seorang yang sedang marah dan kecewa.

Marah kerana hasratnya untuk menakluki Kejohanan Seluruh England bulan depan – pada tahun yang berkemungkinan adalah yang terakhir buatnya di arena antarabangsa yang dihajatinya berkemuncak dalam Kejohanan Dunia, Ogos depan – sudah berakhir lebih awal.

Kalaupun kecederaan lutut terbaru Chong Wei, Sabtu lalu, adalah gara-gara permukaan licin hamparan gelanggang di Akademi Badminton Malaysia yang baru digunakan, apakah segala-galanya wajar dipersalahkan kepada Frost seorang atau pengurusan BAM yang lewat memperbetulkan keadaan?

Kononnya Chong Wei berang kerana Frost didakwa bertanyakan jurulatih pemain itu, Hendrawan, sama ada kecederaan lututnya itu akan membawa kepada persaraannya.

Tidak mungkinkah perkara itu disalahertikan atau difahami di luar konteks, apatah lagi oleh seorang yang sedang kecewa dan marah?

Bukanlah rahsia dalam kem badminton negara bahawa Chong Wei dilayan umpama anak emas pada ketika dia memang berhak kepadanya – dia pemain nombor satu dunia.

Dalam pada itu, harus juga tidak wajar untuk dia berlagak laksana “diva” dengan mengeksploitasi penyokong-penyokong kuatnya – mereka ramai dan berpengaruh – untuk hanya dia yang didengar dan bukan penjelasan sebarang orang lain.

Orang yang sedang marahkan nyamuk, kelambu pun sanggup dibakar.

Cuma, dalam senario terbaru ini, Frost bukan pun “nyamuk” yang perancangan dan tunjuk ajarnya bukan bermanfaat kepada seorang anak emas semata-mata tapi keseluruhan pemain, baik lelaki mahupun wanita, dari peringkat pelapis hingga senior.

Kepada pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Majid, dan barisan exconya, timbang-timbangkanlah agar orang yang sedang marah dan kecewa dapat ditenteramkan supaya yang tidak bersalah, tidak terus dipersalahkan.