Jika lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan diharungi oleh pasukan yang berada dalam kelompok 10 ranking terbaik FIFA, semestinya tugas berat menanti dan secara terbuka, masalah tentunya dapat dihidu di atas dan di luar padang. Mungkin itu yang berlaku terhadap skuad Perancis ketika ini.

Awal pagi tadi, dua jaringan daripada Antoine Griezmann membolehkan skuad kendalian Didier Deschamps itu menewaskan Finland dalam aksi Kumpulan D saingan Kelayakan Piala Dunia 2022, sekali gus mengakhiri kemarau lima aksi kompetitif tanpa kemenangan. Sedar atau tidak, kali terakhir Perancis meraih tiga mata dalam waktu permainan sebenar adalah pada 15 Jun lalu sewaktu aksi pertama saingan EURO 2020. Sejak saingan di Allianz Arena itu, hanya keputusan seri dicatat termasuk sewaktu tunduk 7-8 di tangan Switzerland dalam penentuan sepakan penalti.

Ada sesetengah peminat bola sepak melihat ia sebagai satu perkara yang normal tetapi bagi wartawan Eurosport France, Martin Mosnier, dia melihat senario yang berlaku itu dari sudut berbeza.

“Deschamps harus bertanggungjawab. Dia sering menggunakan sistem yang salah. Pemain diletakkan dalam posisi yang tidak sesuai, menyebabkan mereka hilang keyakinan di atas padang,” kata Mosnier, merujuk kepada laporan daripada L’Equipe. Sebelum ini, akhbar sukan Perancis itu telah mengeluarkan laporan, mendakwa Deschamps kini sudah melonggarkan ketegasan terhadap pemain serta memberikan kebebasan untuk anak buahnya.



Mosnier juga berpendapat, kehadiran Karim Benzema ke dalam skuad telah memberikan satu lagi masalah besar buat Deschamps sehingga menyebabkan dirinya tidak memiliki pilihan selain meletakkan Griezmann di belakang bintang Real Madrid itu. Mosnier menambah: “Benzema tidak boleh dipersalahkan, dia mengharungi tempoh yang baik sewaktu EURO 2020 tetapi hakikatnya, Griezmann bergelut sejak dia kembali.”

Segala fakta di atas tampak bukan satu masalah besar, lebih-lebih lagi Griezmann telah pun meledakkan gol, membolehkan Les Bleus hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi bagi menjamin slot selaku juara kumpulan menuju ke Piala Dunia Qatar 2022 tetapi jika diimbas apa yang dilalui dua juara bertahan sebelum ini, Deschamps pasti tidak senang duduk.

Sepanyol hadir ke Piala Dunia 2014 dengan status gah selaku juara EURO 2008 dan EURO 2012, termasuk tiket pemenang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan tetapi persediaan ke Brazil 2014 kelihatan tidak sempurna. Tewas di tangan Afrika Selatan dalam aksi persahabatan, diikat 1-1 oleh Finland ketika pertemuan di Gijon serta 2-2 oleh Chile, sebelum akhirnya tewas 2-0 di tangan lawan sama dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 sekali gus ditunjukkan jalan keluar



Jerman juga boleh dikaitkan dengan episod sama. Enam perlawanan sebelum aksi pertama Piala Dunia 2018 bukanlah sesuatu yang diinginkan Joachim Low dan anak buahnya. Dipaksa seri oleh Sepanyol, England dan Perancis secara berturut-turut sebelum dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Austria, ia sudah memberi bayangan buruk menanti mereka di Russia 2018. Akhirnya, kota Moscow dan Kazan menjadi saksi, juara Piala Dunia 2014 itu dimalukan Mexico dan Korea Selatan serta ditunjukkan jalan pulang lebih awal.

Perjalanan masih jauh buat Deschamps dan Perancis tetapi sekiranya pengendali berusia 52 tahun itu masih percaya bahawa skuad 2018 yang mencipta sejarah di Russia masih boleh dipertaruhkan untuk aksi di Qatar, penghujung tahun depan, dia bakal berdepan masalah besar.

Sebelum memikirkan trofi Piala Dunia kedua, misi elak badi juara bertahan pasti perlu diutamakan Deschamps.