Perak membuktikan statusnya selaku "raja kebangkitan" bola sepak Malaysia sebaik menewaskan Pahang 3-0 dalam separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Selepas tewas 1-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu, The Bos Gaurus hanya memerlukan separuh masa pertama untuk membedil tiga gol ke kubu Pahang bagi mengesahkan tempat ke final menerusi agregat 4-3.

Andai diikutkan sejarah pasukan Perak, ia bukan perkara baru apabila mereka melakar kebangkitan seperti itu.

Jika tidak, masakan slogan "Kejor Yob Kejor" begitu sinonim dengan pasukan berkenaan.

Berikut merupakan kebangkitan paling epik yang pernah dilakukan skuad Seladang itu dalam saingan kalah mati.

1. Final Piala FA 1990
Dalam aksi final edisi sulung Piala FA di Stadium Merdeka pada 1990, Perak yang dibimbing Datuk M. Karathu ketinggalan 0-2 kepada Selangor dalam babak pertama hasil dua jaringan Dollah Salleh.

Bagaimanapun, skuad Seladang yang dipimpin pemain legenda, Azizol Abu Haniffah, merencanakan kebangkitan menakjubkan dalam babak kedua apabila penyerang import dari Myanmar, Aung Naing, merapatkan kedudukan pada minit ke-59, sebelum Wan Ahmad Kamal mengikat kedudukan seminit kemudian.

Perak kemudian di depan hasil gol kedua Aung Naing pada minit ke-82 sebelum Zulkifli Mansor mematikan impian Selangor pada minit ke-84.

Apa yang menarik, ia merupakan kali pertama sorakan "Kejor Yob Kejor" bergema di stadium.

2. Suku akhir Piala Malaysia 2017
Dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2017, Perak ketinggalan 0-3 kepada Pahang dalam separuh masa pertama di Kuantan hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Afif Amirudin dan Matthew Davies.

Gilmar da Silva merapatkan jurang dalam babak kedua, namun ia belum cukup untuk menghilangkan tekanan The Bos Gaurus menjelang perlawanan kedua di Ipoh.

Namun, Perak menewaskan Pahang 4-0 di Ipoh untuk mara ke separuh akhir dengan kelebihan agregat 5-3.

Senarai penjaring dalam perlawanan itu ialah Gilmar (m-3, 63) Kenny Pallraj (m-77) dan Nazrin Nawi (m-91).

3. Final Piala Malaysia 2018.
Tidak lengkap bercerita mengenai kebangkitan Perak tanpa mengaitkannya dengan final Piala Malaysia 2018.

Ia merupakan kebangkitan paling epik dilakar Perak dalam sejarah Liga Malaysia.

Seawal minit pertama, gawang The Bos Gaurus yang dikawal Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah dibolosi kapten Terengganu, Kipre Tchetche, gara-gara kesilapan pemain pertahanan, Idris Ahmad.

Tiga minit sebelum ke bilik persalinan, gawang Perak dibocorkan Tchetche lagi ekoran kesilapan Hafizul Hakim.

Bagaimanapun skuad kendalian Mehmet Durakovic itu mencipta kebangkitan paling gila untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Firdaus Saiyadi menjaringkan gol pertama pada minit pertama babak kedua.

Dan ketika pengadil sedang bersedia untuk meniupkan wisel penamat, Brendan Gan menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Perak sekali lagi ketinggalan apabila Faiz Nasir menjaringkan gol buat Terengganu pada minit ke-96.

Namun, Perak sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi gol saat-saar akhir selepas pertahanan skuad Peteh, Igor Zonjic, terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-121.

Hafizul Hakim kemudian kembali dijulang wira dalam penentuan sepakan penalti apabila menyelamatkan dua daripada tiga sepakan Terengganu untuk menamatkan kemarau 18 tahun Perak dalam kejohanan berkenaan.

Demikianlah kisah Perak yang kerap kali bangkit dalam setiap situasi sukar yang mendatang.

Maka tidak hairanlah ramai yang menggelarkan mereka sebagai "raja kebangkitan" bola sepak Malaysia.

"Kejor Yob Kejor."