Kemenangan pertama dengan jaringan yang tipis (1-0) ke atas Laos B-22 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan J kelayakan Piala Asia B-23 sebenarnya sudah memadai bagi skuad kendalian Brad Maloney.

Ia merupakan permulaan yang positif bagi pemain-pemain Malaysia B-22 kerana dengan kemenangan itu akan meningkatkan keyakinan diri dan moral setiap pemain kendalian Maloney.

Bukan mudah untuk memulakan sesuatu kejohanan besar kerana ia pasti akan mengundang gemuruh dalam diri setiap pemain.

Perasaan itu kebiasaannya akan berlaku kepada pemain-pemain terutama muka baru yang pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa.

Namun, apa yang dipamerkan oleh anak didik Maloney begitu berlainan sekali memandangkan mereka menunjukkan kematangan ketika permainan terutama dalam mengayakan corak DNA dan falsafah bola sepak Malaysia walaupun pada awal permainan menampakkan sedikit kegugupan.






Jika diperrhatikan pemain-pemain remaja Malaysia telah mula selesa dengan pengawalan bola dan menyerang secara berperingkat-peringkat dengan yakinnya.

Saat inilah yang dinanti-nantikan oleh semua peminat-peminat bola sepak negara yang begitu dahagakan permainan yang berkualiti serta teknik individu yang tinggi daripada setiap pemain bola sepak negara.

Namun, masih ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pemain-pemain muda ini dan mereka perlu lebih kreatif dan perlu lebih berani mengambil risiko terutama ketika membuat keputusan untuk melakukan hantaran serta melakukan larian mencari ruang untuk hantaran dan melakukan penyudah.

Sekiranya semua elemen ini dapat diperbaiki, ditambah pula dengan keinginan yang tinggi untuk memburu kemenangan, tidak mustahil skuad negara B-22 itu mampu memperolehi kemenangan dalam pertemuan menentang Mongolia dan Thailand.

Inilah masanya untuk semua pemain-pemain muda negara itu membuktikan bahawa mereka mampu merealisasikan setiap perancangan jurulatih dan impian rakyat Malaysia untuk melihat skuad ini layak ke peringkat akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan.