Anthony Martial tiba di Old Trafford hampir tiga tahun lalu tanpa nama gah tetapi memberikan peminat The Red Devils sebutir harapan tatkala gergasi Manchester itu sedang melalui proses pembaharuan.

Permulaan kariernya bersama Manchester United pada musim 2015/16 dibawah kendalian Louis Van Gaal diakhiri dengan 17 jaringan, satu catatan yang membanggakan buatnya ketika baru berusia 20 tahun sehingga membolehkannya meraih anugerah Bola Emas 2015.

Kini, segalanya tampak memeningkan buat pemain skuad kebangsan Perancis itu apabila namanya menjadi sasaran terhangat untuk dilepaskan pada musim panas akan datang.

Dalam masa sama, legenda Arsenal yang juga dari Perancis, Robert Pires, menyifatkan Martial harus menyertai pasukan seperti Arsenal bagi mengelakkan kebolehan yang ada padanya terus menghilang akibat kekurangan minit permainan dan ia terbukti apabila dia hanya tampil 16 kali dalam kesebelasan utama, musim ini.

Situasi yang terjadi terhadap Martial menyebabkan timbul beberapa nama untuk dibawa masuk menyertai United seperti Dries Mertens (Napoli), Christian Pulisic (Borussia Dortmund) dan Willian (Chelsea).

Mertens mengharungi kempen yang cemerlang bersama Partenopei Gli Azzurri bagi kempen 2017/18 apabila meraih 21 gol hasil daripada 46 aksi dalam semua kejohanan sementara Willian pernah beraksi hebat ketika di bawah kendalian Mourinho di Stamford Bridge, sekaligus membuatkan kedua-duanya dilihat dapat menjanjikan sesuatu buat segala perancangan pengendali dari Portugal itu.

Sementara Pulisic yang merupakan pemenang atlet lelaki terbaik Amerika Syarikat 2016 dan 2017 kini semakin memukau beraksi di Signal Iduna Park, namun harus diingat bahawa pembeliannya akan mencetuskan kegusaran kerana Mourinho lebih dikenali dengan konsep mendapatkan pakej pemain lengkap, sesuatu yang belum dipenuhi Pulisic pada usia 19 tahun.

Jika Martial dilepaskan, sebilangan besar penyokong United pasti tidak akan bersetuju, namun siapa tahu, mungkin bintang Les Bleus itu sedang melalui proses berkembang seperti apa yang dilalui Mohamed Salah ketika di Chelsea dan masih belum cukup matang untuk menggalas tanggungjawab besar menyarung jersi The Red Devils.