Kegagalan mencipta sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super telah mengundang kemarahan dan kecaman daripada peminat-peminat pasukan Pulau Pinang.

Ditambah pula dengan perbalahan di antara peminat dan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, yang semakin tegang, ini satu kemelut dan permasalahan yang perlu ditangani sebaik mungkin oleh pihak pengurusan.

Ini ditambah pula dengan kemelut di antara pemain dan pengurusan, terutama kes penjaga gol, Sani Anuar Kamsani, yang sedang hangat diperkatakan.

Sani dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin FAP kerana dikatakan dengan sengaja melepaskan enam gol ketika aksi Liga Super yang menyaksikan Pulau Pinang dibelasah Pahang 6-1 di Stadium Darulmakmur.

Apakah ini tanda-tanda kejatuhan pasukan Pulau Pinang dan pengurusan FAP di mata peminat-peminat mereka?

Sebagaimana yang kita ketahui sebelum ini, komitmen yang diberikan oleh pengurusan FAP dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengangkat kembali bola sepak Pulau Pinang, sudah nampak hasilnya apabila pasukan negeri itu berjaya kembali dalam saingan Liga Super bermula pada tahun lalu.

Namun, dalam saingan Liga Super tahun lalu juga, pasukan Pulau Pinang mula menampakkan permasalahan yang berlaku di dalam pasukan dan pengurusan mereka dengan bermulanya kemelut jurulatih mereka, Jacksen F. Tiago, sebelum direhatkan.

Ini satu cabaran kepada FAP bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan bijak serta dapat memastikan pasukan Pulau Pinang berada pada prestasi terbaik sebagaimana yang diinginkan peminat-peminat mereka.

Kebijaksanaan, ketegasan dan keadilan perlu ada dalam menyelesaikan permasalahan ini supaya dapat memuaskan hati semua pihak, terutama peminat-peminat mereka.

Bangkitlah Pulau Pinang demi maruah yang perlu dibela.