Bola sepak negara sudah memasuki era profesional sepenuhnya pada musim 1994 dengan pengenalan Liga Malaysia (merangkumi Liga Perdana 1 & 2, Piala FA dan Piala Malaysia) untuk menggantikan Liga Semi Pro yang diperkenalkan pada 1989.

Selepas 25 tahun liga domestik profesional sepenuhnya, setiap pasukan negeri yang bersaing masih diuruskan persatuan bola sepak negeri-negeri manakala pasukan berstatus kelab pula tampak sukar untuk kekal lama.

Apapun, kini sudah tiba masanya bola sepak negara ke aras yang lebih tinggi berikutan kegagalan beberapa persatuan bola sepak negeri dalam menguruskan kewangan dengan baik.

Isu pembatalan penyertaan pasukan Perlis dalam semua pertandingan musim ini oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seharusnya memberi isyarat jelas penguatkuasaan untuk menswastakan sepenuhnya pengurusan pasukan negeri perlu dilaksanakan.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun ini membentuk Jawatankuasa Pelesenan Kelab yang diterajui naib presiden, Muhd Firdaus Mohamed.

Objektif jawatankuasa tersebut adalah untuk memastikan menjelang musim 2021, setiap pasukan negeri menjadi swasta sepenuhnya dan beroperasi seperti kelab profesional.

Ini bererti, pentadbiran pasukan negeri tidak lagi berada di bawah persatuan bola sepak negeri dan setiap persatuan pula boleh menumpukan perhatian terhadap pengurusan liga negeri masing-masing serta pembangunan akar umbi.

Pada penulis, usaha penswastaan sepenuhnya setiap pasukan negeri wajar disokong dan perlu direalisasikan memandangkan ia juga mampu membawa tahap bola sepak negara ke aras yang lebih tinggi.

Penswastaan pasukan negeri juga membolehkan syarikat-syarikat korporat gergasi tempatan membabitkan diri secara langsung, selaku pemegang saham atau pemilik kelab.

Secara tidak langsung, pengurusan setiap pasukan negeri akan lebih berorientasikan budaya korporat sepenuhnya dan tidak bergantung kepada kaedah pengurusan persatuan negeri yang kadang kala terlalu berharap kepada sokongan kewangan kerajaan negeri.

Difahamkan, ketika ini ramai tokoh korporat enggan atau berat mahu memimpin mana-mana persatuan negeri kerana terlalu banyak politik dalaman yang menyukarkan mereka melakukan perubahan.

Ketika ini pemisahan pasukan daripada persatuan negeri hanya mampu dilakukan dengan berkesan oleh kelab Johor Darul Takzim (JDT) apabila pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memulakan revolusi bola sepak negeri Johor pada 2013.

Hasilnya, mereka muncul juara Liga Super enam kali berturut-turut serta menjadi wakil pertama negara di pentas dalam Liga Juara-Juara AFC.

Berlandaskan pengamatan penulis, ketika ini Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tampak mula bergerak ke arah penswastaan sepenuhnya dengan usaha berterusan sekretariat mereka untuk mencari dana tambahan buat pasukan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan negeri.

FAS ketika ini juga tampak lebih proaktif melakukan pemasaran jersi dan cederahati pasukan buat peminat selain cepat mengambil tindakan segera menangani isu jika terdapat sebarang isu membabitkan persatuan tersebut atau pasukan Selangor.

Memang terlalu jauh jika kita hendak membandingkan pengurusan FAS dan JDT ketika ini, namun sekurang-kurangnya mereka cuba melakukan perubahan ke arah pengurusan yang lebih berkesan.

Kerana itu, penulis berharap pasukan lain juga mampu bergerak seiring dengan FAS dalam usaha memastikan pengurusan setiap pasukan mampu untuk sekurang-kurangnya mendekati tahap yang diraih JDT ketika ini.

Penulis berharap tidak kedengaran suara pegawai mana-mana persatuan negeri yang berkata ia sukar dilaksanakan, atau lebih baik kekal kaedah lama kerana ia jelas tidak membantu bola sepak negara.

FAM dan MFL juga usah lagi berkompromi dengan pasukan-pasukan negeri yang enggan melaksanakan perubahan ke arah pasukan profesional sepenuhnya pada musim 2021.

Jika gagal memisahkan pentadbiran pasukan dengan persatuan negeri,l ebih baik mereka dihalang terus daripada beraksi dalam saingan Liga Super mahupun Liga Perdana pada musim 2021.