Kerancakan saingan Liga Perdana dalam perebutan tempat pertama semakin menarik kerana keputusan itu akan ditentukan dalam perlawanan terakhir di antara pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu kerana kedua-dua pasukan ini mengumpul jumlah mata yang sama dan cuma dibezakan oleh jaringan.

Apa yang pasti, kedua-dua pasukan ini telah layak ke saingan Liga Super pada edisi 2018.

Ini satu persaingan sengit dan menguji sejauh mana kematangan dan kebijaksanaan pemain-pemain mengawal tekanan dan emosi pada saat-saat yang mendebarkan.

Bukan mudah untuk seseorang pemain mengawal situasi ini. Sementara itu juga, pengurusan dan jurulatih perlu bijak memainkan peranan bagaimana untuk mengawal emosi pemain-pemain dan bijak mengatur perang psikologi dalam memburu kejuaraan di samping mengekalkan momentum pemain-pemain supaya sentiasa bersedia daripada segi fizikal dan mental.

Tidak boleh alpa, jurulatih perlu mengawasi sikap pemain dan diisi dengan kata-kata semangat supaya mereka tahu matlamat untuk mencipta kemenangan serta bermain dengan semangat kesukanan supaya tidak terjerumus ke jalan yang negatif kerana saat-saat inilah juga bookie akan mencari jalan.

Dalam situasi beginilah, nilai integriti pemain-pemain diuji, terutama kepada pemain-pemain Kuala Lumpur kerana sebelum ini sejarah hitam pernah terpalit kepada pasukan ibu kota itu.

Apa pun, penulis yakin dengan kredibiliti pemain-pemain Kuala Lumpur yang telah menunjukkan komitmen sehingga mereka bangkit menjulang nama ‘The City Boys’ kembali.
Kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) juga, penulis ingin mengucapkan tahniah di atas kejayaan mengembalikan skuad ibu kota ini ke dalam saingan Liga Super pada tahun hadapan, begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Bukan mudah untuk mengurus sesebuah pasukan, apatah lagi ia merupakan KPI daripada kerajaan negeri seperti Terengganu.

Komitmen dan jiwa bola sepak itu perlu tebal dalam diri setiap pemimpin persatuan. Bukan itu sahaja, malah mereka perlu jujur kepada diri sendiri dalam membangunkan sukan bola sepak dan bukan untuk mengekalkan populariti dalam mengejar agenda politik.

Syabas dan tahniah kepada kedua-dua pasukan ini dan penulis berharap agar persatuan dapat memberi imbuhan yang setimpal kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain di atas kejayaan mereka membawa kedua-dua pasukan itu ke Liga Super 2018.