Tular di media sosial baru-baru ini mengenai sebuah coretan dari pemilik pasukan di selatan tanah air dimana ianya berbunyi seolah-olah Tunku Mahkota Johor (TMJ) adalah masalah terbesar di dalam pasukan JDT. Namun setelah membaca secara keseluruhan, isinya ternyata berbeza. Atau mungkin JDT lah yang berada dalam masalah besar andai tiadanya TMJ.

Kenyataan yang dikeluarkan itu menceritakan betapa komited dan dedikasinya seorang berketurunan raja, yang sanggup ‘turun padang’ hampir setiap hari bergaul bersama rakyat marhaen semata-mata mahu menjadikan JDT pasukan yang hebat.

Logiknya, TMJ boleh sahaja tidak mempedulikan mengenai bolasepak di Johor dan memikirkan perkara lain, malah Tunku Ismail boleh bersenang-lenang tanpa perlu melakukan kerja keras seperti sekarang berdasarkan kedudukannya. Namun bukan jalan itu yang dipilih, tetapi TMJ lebih gemar bangun setiap hari memikirkan halatuju bagi membawa JDT ke peringkat yang lebih tinggi.

Jika dilihat secara lebih menyeluruh, kehadiran TMJ di dalam kancah bola sepak Malaysia telah membawa suatu aura yang amat-amat positif. Bukan sahaja JDT, malah kesemua pasukan di Malaysia turut merasai impaknya. Banyak perkara positif yang telah diilhamkan dan dijadikan realiti. Sebagai contoh, kualiti pengurusan bola sepak dalam dan luar padang di Malaysia sedang meningkat sedikit demi sedikit.

Di dalam padang, kita dapat melihat betapa kompetitifnya saingan sesama pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama didalam mana-mana pasukan sekalipun, malah ada yang berusaha keras dan bercita-cita mahu mendapat tempat dalam pasukan JDT biarpun kini beraksi bersama pasukan lain. Kerana apa? Kerana fakta tidak dapat disangkal JDT merupakan pasukan terbaik di negara ini buat masa sekarang.

Di luar padang pula, pengurusan liga tempatan telah ditambah baik dengan adanya MFL dimana segala urusan berkaitan geran pasukan, isu perpindahan, urusan pengadilan dan sebagainya dapat diselia takbir dengan lebih baik berbanding dahulu.

Tapi biasalah, pasti ada yang cemburu, iri hati dan juga tidak senang duduk kerana kita tidak akan pernah mampu memuaskan hati semua pihak. Sifirnya mudah, andai semua pasukan di Liga Super akan memberikan 200% usaha apabila menentang JDT, itu adalah satu kejayaan yang amat besar bagi sebuah pasukan bola sepak, kerana anda tahu dimana kedudukan anda dimata mereka.