Baru sahaja berusia 19 tahun tetapi Kylian Mbappe sudah memiliki gelaran yang mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Bintang masa depan Perancis itu kini telah menggenggam pingat Piala Dunia manakala Messi dan Ronaldo telah berusaha sepanjang karier untuk membantu pasukan mereka bergelar yang terbaik.

Sesetengah pihak melabel Ronaldo dan Messi gagal apabila tidak berkemampuan untuk membantu negara mereka mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dan ia menjadi perdebatan di antara dua pemain ini bagi mencari gelaran pemain terbaik sepanjang zaman.

Pele dan Diego Maradona masih lagi dianggap sebagai pemain yang telah mengecapi kejayaan bersama kelab dan skuad kebangsaan dan kini hadir pula pemain bernama Mbappe yang memiliki perjalanan karier yang masih panjang tetapi sudah menjuarai Piala Dunia.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) ini dianggap sebagai pewaris kepada Messi dan Ronaldo, dengan pentas final Russia 2018 merupakan medan terbaik buat memperkenalkan dirinya ke seluruh dunia.

Bukan hanya memenangi Piala Dunia tetapi menyertai Pele untuk bergelar pemain muda yang menjaringkan gol dalam aksi final Piala Dunia sejak legenda Brazil itu melakukannya pada 1958 (ketika berusia 17 tahun).

Jaringannya memastikan Perancis menang 4-2 ke atas Croatia di Moscow, sekali gus mengumpul empat gol sepanjang kejohanan dalam tujuh perlawanan, membuktikan dia bakal menjadi tonggak utama pasukan.

Menyarung jersi nombor 10 -- mengikut jejak langkah ikon Les Bleus seperti Zinedine Zidane dan Michel Platini -- dua gol Mbappe ketika menyingkirkan Argentina dalam pusingan 16 di Kazan membuktikan kebolehannya dan pilihan Didier Deschamps membawa Mbappe merupakan satu keputusan yang tepat.

Sebelum bermulanya Piala Dunia 2018, dia sudahpun menjadi bintang. Persembahannya bersama Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) bagi musim 2016-17 sekali gus membantu pasukan tersebut menjuarai Ligue 1, yang memberikan laluan kepadanya tawaran berhijrah ke PSG dan merupakan antara tonggak utama jentera serangan gergasi Perancis itu.

"Mbappe adalah pemain yang bakal menggantikan Ronaldo dan Messi. Dia bakal mendominasi Ballon d'Or pada masa akan datang," kata bekas pertahanan England, Rio Ferdinand.

"Beraksi dalam Piala Dunia ketika berusia 19 tahun dan disaksikan oleh seluruh dunia, Mbappe telah membuktikan dia mampu beraksi dengan cemerlang dan kematangannya meletakkan dia sebagai masa depan bola sepak.”

Di sebalik persembahan cemerlangnya itu, Deschamps -- pemenang Piala Dunia 1998 sebagai pemain dan kini mengendalikan Perancis -- membuktikan bahawa keputusannya untuk memilih 23 pemain ini merupakan percaturan terbaiknya.

Dikecewakan dalam aksi final Euro 2016 tetapi mereka bangkit untuk dinobat sebagai juara dunia.