Pengesahan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai penggabungan persatuan itu bersama PKNS dalam membentuk pasukan musim depan adalah satu langkah tepat demi kemajuan bola sepak di negeri Selangor.

Sebelum ini juga, penulis pernah menyarankan penggabungan ini perlu direalisasikan kerana ia adalah langkah perlu bagi transformasi bola sepak di negeri Selangor dalam usaha mengembalikan status Gergasi Merah sebagai kuasa besar Liga Malaysia.

Menurut kenyataan rasmi FAS yang disiarkan pada 8 Oktober lalu, penggabungan FAS-PKNS wajar dilaksanakan kerana ia mampu menjimatkan kos apabila tumpuan diberikan kepada satu pasukan dalam membawa nama Selangor dalam saingan Liga M.

Musim 2019 menyaksikan RM44 juta dibelanjakan tiga kelab di Selangor (FAS, PKNS dan Selangor United) untuk saingan musim ini dan ia adalah lebih tinggi berbanding pasukan lain.

Pencapaian juga tidak memberangsangkan dengan hanya Selangor tampak sedikit menyinar dengan menduduki tempat ketiga Liga Super dan kini di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Bayangkan jika dana kewangan dari kerajaan negeri hanya tertumpu kepada satu pasukan, sudah pasti ia bukan saja mengurangkan kos tetapi turut membolehkan pasukan yang membawa nama Selangor akan berupaya membentuk barisan lebih ampuh.

Sebaik sahaja penggabungan ini direalisasikan, penulis menjangkakan PKNS akan turun ke saingan Liga Perdana dengan menggunakan nama baru untuk musim 2020.

Naib Presiden FAS, Izhar Moslim ketika dihubungi memberi jaminan FAS tidak akan mengabaikan pemain-pemain muda berpotensi daripada skuad Piala Presiden dan Belia PKNS dan mereka dijangka membentuk pasukan kedua Selangor di Liga Perdana musim depan.

"Dalam mana-mana pasukan di seluruh dunia, pasukan kedua atau feeder mereka akan dibarisi pemain-pemain muda bagi memastikan mereka bersedia untuk beraksi bersama skuad utama dalam masa terdekat," kata Izhar.

Namun, Izhar akui pengurusan FAS ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan pengendali PKNS yang juga bekas pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Kata putus mengenai Rajagobal dijangka akan hanya diketahui apabila segala urusan penggabungan FAS-PKNS berjaya dilaksanakan dengan baik.