Baru-baru ini, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menyatakan keinginan untuk menganjurkan Kejohanan B-21 Jemputan Antarabangsa bermula tahun 2017.

Buat masa ini, kejohanan tetap yang dianjurkan di Malaysia adalah Piala Sultan Azlan Shah untuk skuad senior oleh Persatuan Hoki Perak dan Piala Sultan Johor untuk pasukan bawah 21 tahun oleh Persatuan Hoki Johor.

Beberapa bekas pemain kebangsaan, termasuk saya, telah memberikan kenyataan mempersetujui usul yang akan dibuat oleh Presiden KHM dalam mesyuarat eksekutif tertinggi KHM yang akan datang.

Kami melihat di Eropah dan di Australia di mana mereka sentiasa menganjurkan beberapa kejohanan empat negara untuk memberikan pendedahan dan latihan perlawanan kepada pasukan mereka.

Kejohanan-kejohanan ini sebenarnya tidak perlu perbelanjaan yang banyak dan tidak perlu mendapatkan pengiktirafan daripada FIH tetapi dengan adanya beberapa kejohanan seperti ini, ia kelebihan untuk pasukan negara.

Jika pasukan hoki negara ke Eropah untuk menjalani latihan serta perlawanan pendedahan, KHM terpaksa mengeluarkan kos yang besar.

KHM mempunyai pasukan lelaki dan wanita, pasukan utama, pembangunan, bawah 21 dan yang lain-lain.

Dengan menjemput beberapa pasukan untuk menyertai Kejohanan Jemputan Empat atau Enam Negara, pasukan-pasukan negara kita akan mendapat pendedahan perlawanan menentang beberapa negara yang mungkin sukar diperolehi dan memerlukan perbelanjaan yang besar jika kita ingin ke negara-negara tersebut.

Bayangkan jika skuad kebangsaan akan menyertai lima kejohanan setahun di Malaysia?

Bukankah ia akan membuka banyak peluang? Sama ada untuk pemain, jurulatih dan peminat.

Pemain simpanan mendapat lebih banyak peluang membuktikan kemampuan mereka, jurulatih boleh mencuba pelbagai formasi manakala peminat lebih gembira meraikan gol-gol berkualiti di depan mata mereka.

Masing-masing mendapat banyak peluang sementara KHM dapat menjimatkan banyak kos -- bukankah ia baik untuk hoki Malaysia?