Saingan final Piala AFC tahun ini di Dushanbe antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Istiklol membuka peluang buat penulis bersama jurukamera, Saiful Azuan Kassim buat julung kali menjejak kaki ke negara Asia tengah itu yang pernah bernaung di bawah bekas negara Soviet Union.

Perjalanan ke Dushanbe juga mencabar, penulis menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Dubai jam 11 pagi pada 27 Oktober lalu bagi menaiki penerbangan transit ke Dushanbe.

Skuad JDT pula berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura untuk ke Dubai bagi penerbangan transit ke Dushanbe

Selepas mengharungi perjalanan tujuh jam ke Dubai, penulis dan Saiful bersama skuad JDT terpaksa menanti hampir 10 jam sebelum berlepas ke Dushanbe kerana penerbangan kami tergendala.

Kami hanya tiba di Dushanbe, pada jam 4 pagi waktu tempatan di sini dan terpaksa melalui proses mendapatkan visa yang panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Dushanbe.

Walaupun Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) membantu mendapatkan laluan khas buat pemain dan pegawai JDT, hanya terdapat seorang kakitangan imigresen Tajikistan yang bertugas untuk menguruskan visa kami.

Setiap orang yang memasuki Tajikistan juga perlu membayar visa sebanyak 39 USD (RM167) serta memerlukan surat jemputan, bagi mendapatkan kelulusan visa memasuki negara ini.

Sebaik selesai urusan visa dan melepasi kastam, penulis mendapati ramai pemandu teksi yang menyapa kami untuk menaiki teksi ke hotel.

Apa yang penulis tahu dari sebuah laman web pelancongan adalah mereka akan mengenakan bayaran tinggi kepada pelancong asing.

Mujur buat penulis dan Saiful, terdapat pegawai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membantu kami ke hotel penginapan,manakala skuad JDT menaiki kenderaan yang disediakan TFF buat mereka ke hotel.

Kebanyakan warga Tajikistan tidak fasih berbahasa Inggeris dan hanya boleh bertutur dalam bahasa Tajik serta Russia yang kadang kala memberi kesukaran buat pelancong sebaik keluar dari hotel penginapan.

Penulis kerap berkomunikasi dengan warga tempatan di sini menggunakan aplikasi terjemahan bahasa asing yang terdapat di telefon bimbit.

Di Dushanbe, hanya teksi yang dipanggil ke hotel menggunakan meter dan kebanyakan teksi di pusat bandaraya tidak menggunakan meter dan kerap meletak harga mahal kepada pelancong asing.

Penulis serta beberapa rakan media Malaysia kerap menjadi mangsa penipuan pemandu teksi di sini dan kami pernah dikenakan bayaran setinggi 60 Solomi (RM 39) untuk perjalanan yang memakan masa tidak sampai 10 minit dan tiada resit diberikan.

Cuaca di sebelah pagi dan siang di Dushanbe adalah sekitar bawah 25 darjah celcius dan ia bertambah dingin pada sebelah malam sehingga bawah 6 darjah celcisus.

Namun, di sebalik kesukaran yang dihadapi di bumi Tajikistan, barisan pemain JDT tampak kekal fokus untuk aksi di final dengan nada keyakinan turut dilontarkan tonggak pasukan seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan penjaga gol, Farizal Marlias.

Penulis mengharapkan, keputusan di final Piala AFC akan memihak JDT kerana ia bukan hanya kemenangan buat peminat kelab itu tetapi ia adalah satu suntikan motivasi buat bola sepak negara untuk meraih sebuah kejuaraan peringkat Asia.