Separuh perjalanan saingan Liga Super musim ini telah pun berlangsung dan hanya berbaki lima perlawanan sahaja lagi saingan Liga Super musim 2020 akan melabuhkan tirainya. Johor Darul Ta’zim terus gah mendahului carta liga sementara Kedah, Perak, Selangor, Terengganu, UiTM dan Melaka terus bersaing memberi tekanan pada JDT tetapi pada hakikatnya amat sukar. Namun kesemua pasukan-pasukan itu masih lagi berpeluang untuk berebut tempat kedua dan ketiga. Walaupun format saingan Liga Super musim ini agak singkat masanya disebabkan pandemik COVID-19 namun kemeriahan Liga Super dapat dirasai. Inilah buktinya komitmen yang diberikan oleh setiap pasukan terutama pemain-pemain dalam merancakkan saingan Liga Super serta kualiti permainan setiap pasukan.

Itulah yang peminat-peminat bola sepak harapkan kerana dengan prestasi dan kualiti permainan yang baik dipamirkan oleh setiap pasukan sudah pasti akan membantu meningkatkan kualiti permainan skuad kebangsaan nanti. Itulah peranan yang dimainkan oleh jurulatih-jurulatih setiap pasukan untuk membantu pemain-pemain tempatan terutamanya meningkatkan kualiti mereka. Namun bagi pemerhati bola sepak pula ia seperti penanda aras bagi setiap jurulatih-jurulatih untuk membuktikan kebolehan dan kredibiliti mereka dalam mengurus tadbir pasukan dalam keadaan yang singkat dan kritikal itu terutama selepas perubahan format pertandingan yang pendek dari Malaysia Football League (MFL) akibat dari pandemik COVID-19.

Dari kedudukan carta Liga Super ketika ini semua sudah boleh lihat bagaimana penguasaan pasukan-pasukan yang dibimbing oleh jurulatih-jurulatih import seperti Benjamin Mora (JDT), Aidil Sahrin (Kedah) dan Mehmet Durakovic (Perak). Apakah itu menggambarkan bahawa jurulatih import lebih berkualiti daripada jurulatih tempatan?. Itu persoalan yang mungkin timbul di kalangan pemerhati atau peminat bola sepak tanah air. Tetapi dari pandangan penulis ia berbeza, sebaliknya inilah pengalaman yang berguna kepada jurulatih-jurulatih tempatan terutamanya jurulatih-jurulatih muda di saingan Liga Super seperti Nafuzi Zain (Terengganu FC) dan Mohd Nidzam Jamil (Felda United FC) dalam mengurus tadbir pasukan mereka ketika saat getir dan terdesak serta dalam keadaan yang tidak dijangka.

Ini sebenarnya saat yang berguna kepada kedua-dua jurulatih muda ini untuk membuktikan kualiti mereka dalam mengurus tadbir pasukan ketika situasi yang tidak dijangka ini. Kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh mereka dalam membuat perancangan serta mempraktikkan rangka kerja dengan strategi yang pantas dalam menentukan pretasi terbaik pasukan mereka. Walaupun punyai halangan tetapi itu semua akan mematangkan mereka pada masa hadapan dalam membina kerjayanya sebagai seorang jurulatih yang berwibawa. Kepada pengurusan kedua-dua pasukan iaitu Terengganu FC dan Felda United FC berilah sokongan kepada mereka dalam menghadapai situasi getir ini demi kemajuan pasukan dan bola sepak negara kerana kedua-dua jurulatih ini mempunyai potensi besar dalam industri bola sepak Malaysia.