Siapa sangka dominasi pasukan-pasukan ternama boleh berakhir dalam antara Liga utama Eropah, dengan Juventus terlucut mahkota yang terdahulu terlihat dipateri ke kepala pemain-pemainnya.

Atletico Madrid dan Lille pula semakin hampir kepada kejuaraan amat bermakna di Sepanyol dan Perancis – pencapaian yang didahului oleh Inter Milan kendalian Antonio Conte untuk menjulang Scudetto buat kali pertama selepas 11 tahun.

Tidak cukup dengan itu, Juventus, yang terlepas kejuaraan ke-10 berturut-turut dalam Serie A, dan Borussia Dortmund kini di ambang untuk ‘ketinggalan penerbangan’ ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Ia satu situasi yang mungkin dikongsi Liverpool, juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama selepas 30 tahun musim lalu, dan kini cuba menyalahkan segala-galanya kepada dua faktor utama – ketiadaan penonton angkara pandemik COVID-19 dan kecederaan sebilangan pemain tonggak.



Ini semua membawa kepada klimaks yang mencemaskan pada minggu-minggu terakhir saingan liga di benua Eropah yang setakat ini menawarkan kesudahan yang sedikit berbeza seperti disorot akhbar Daily Mail berbanding kemuncak musim 2019-20.

Simpati atau sindiran terbesar harus kepada penyokong The Reds kerana berpaut kepada alasan dangkal seolah-olah pasukan mereka saja yang mengalami alasan sedmikian, seolah-olah pasukan lain tidak pun menanggung susah-payah yang serupa.

Sebagaimana Liverpool dihormati di atas pencapaiannya musim lalu, ada baiknya juga jika mereka belajar merendah diri untuk mengakui kelemahan sendiri di samping angkat topi kepada sekurang-kurangnya tiga pesaing yang sebenarnya lebih baik musim ini.

Fitrah serupa pastinya menyelubungi salah satu di antara Real Madrid dan Barcelona – kalaupun tidak kedua-duanya sekali – dengan saingan LaLiga tidak lagi hanya berkisar kepada Los Blancos dan Blaugrana.

Jika itu berlaku, paling beruntung haruslah Luis Suarez yang angkat kaki dari Camp Nou di akhir musim lalu ke Wanda Metropolitano bagi meneruskan langkah sebagai seorang juara.



Pada waktu yang sama, Juventus dan Borussia Dortmund mungkin turut ketinggalan penerbangan ke Liga Juara-Juara dan – maafkanlah saya – harus mencemburui Manchester United yang sebaliknya sudah mengesahkan kemaraan secara merit.

Suka atau tidak, sudah banyak yang dilakukan Ole Gunnar Solskjaer untuk mengangkat kembali martabat The Red Devils selaku naib juara EPL di sebalik penghargaan terbesar harus buat Pep Guardiola yang mengembalikan kejuaraan buat Manchester City.

Berbanding kesemuanya, tiada apa mampu menghalang Bayern Munich menggapai kejuaraan Bundesliga kesembilan berturut-turut tanpa banyak rintangan.

Apakah yang berlaku di Turin yang menghadirkan kesudahan mengecewakan buat legenda Juventus dan Itali, Andrea Pirlo, dalam musim sulungnya selaku pengurus?

Ketika ini, Juventus berada di luar kelompok empat teratas dengan tiga slot di bawah Inter diisi oleh Atalanta, AC Milan dan Napoli sambil hayat The Old Lady bergantung kepada pasukan-pasukan di atas mereka keciciran mata.

Namun, Juventus secara matematiknya masih boleh berkesudahan di tangga kedua, yang jika gagal dicapai, adalah satu malapetaka buat Cristiano Ronaldo yang sudah pun digembar-gemburkan akan berkelana ke pasukan baru sekali lagi.

Berbaki dua perlawanan menentang Osasuna dan Valladolid dalam LaLiga pula, Atletico Madrid hanya memerlukan empat mata untuk mengesahkan kejuaraan, sekali gus meninggalkan sagu hati untuk Real Madrid dan Barcelona sekadar kekal dalam kelompok empat teratas.



Sensasi terbesar pula harus ditimbulkan Lille – kini di tangga teratas dengan beza tiga mata mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) – yang perlu menang dua perlawanan terakhir untuk mengungguli Ligue 1.

Hujung-hujungnya nanti, mari kita lihat siapa yang kena!