Ya, memang mengejutkan apabila Datuk Vida meminta untuk menukar nama The Red Warriors kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dan stadium harus dicat kepada warna merah jambu. Sehingga gambar stadium yang ditukar "pink" membanjiri laman sosial Facebook.

Ramai yang mengecam pada awalnya namun ada yang bersetuju. Sekilas pandang, seperti sebuah jenaka kisah syarat Datuk Vida ni. Tapi siapa tahu, "jenaka" inilah yang mampu membantu skuad bola sepak Kelantan?

Ternyata, Kafa mengesahkan persetujuannya untuk menerima tajaan daripada Datuk Vida dengan 33 lagi syarat pada mesyuarat dengan Tan Sri Annuar Musa tempoh hari.

Jujur, saya sebagai wartawan dan peminat setia The Red Warriors yang berdarah Kelantan sendiri teruja dengan penajaan dari Qu Puteh! Apa tidaknya, stadium yang saya lihat mungkin sedikit luntur, sebentar lagi tidak mustahil akan lebih kemas dan cantik !

Paling saya tidak sabar adalah cadangan Datuk Vida untuk buat laluan khas buat penonton wanita bagi memudahkan mereka untuk masuk. Mungkin tampak sukar untuk dilakukan namun tidak mustahil.

Sebelum ini, Datuk Vida bersetuju untuk menaja sebanyak RM16 juta buat skuad TRW dan dijangkakan jumlah berkenaan mungkin meningkat. Dengan jumlah melebihi RM16 juta, saya sudah membayangkan perubahan baru TRW nanti akan cetus fenomena buat pasukan ini.

Jadi, sudah pasti stadium merah jambu dan jersi merah jambu yang dicadangkan akan menjadi mercu tanda baru buat Kelantan musim ini selain menyuntik semangat buat pasukan untuk merebut kembali takhta liga.

Tetapi, apa yang diharapkan oleh penyokong agar ikhtiar Datuk Vida sendiri untuk mengembalikan zaman kegemilangan TRW dengan usaha dari peringkat akar umbi berbaloi.

Jatuhnya TRW pada tahun 2015 dengan harapan bangkitnya TRW pada tahun 2016 agar dapat mengubat kembali duka lama penyokong setia musim lepas.

Selamat maju jaya saya ucapkan buat pasukan Kelantan!