Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan kepada Penang FC mengapa mereka diangkat sebagai juara Liga Super tujuh kali berturut-turut.

Juara bertahan itu kembali dengan kemenangan selesa 3-0 ketika bertandang ke Stadium Bandaraya, malam tadi, untuk empat mata mengatasi Terengganu (hanya akan beraksi malam ini) di puncak selepas 13 perlawanan.

Walaupun Penang gagal bangkit selepas ditewaskan Kuala Lumpur City dalam perlawanan terdahulu, Harimau Selatan tetap dalam kelas tersendiri untuk menghadiahkan kekalahan berikutnya (ketiga) kepada tuan rumah.

Lebih manis, JDT akan muncul sebagai pasukan tunggal yang mengalahkan pendatang baru Liga Super itu dua kali dalam liga, apatah lagi Harimau Kumbang memberikan satu saingan jitu dalam pertemuan pertama 9 Mac lalu.

Apapun, elemen paling mencuri tumpuan malam tadi sudah tentulah Safiq Rahim yang membarisi jentera JDT.

Selepas berkelana ke Melaka United selama dua musim, bekas tonggak kebangsaan yang bakal mencecah usia 34 tahun itu kembali memainkan peranan di kem selatan berkenaan tetapi kali ini sebagai watak sokongan.

Diturunkan dalam kesebelasan utama, Safiq mengubati kerinduan peminat dengan aksi berbisa.

Satu cucukan menarik untuk gol pembukaan perlawanan daripada Safawi Rasid pada minit k-15 menyerlahkan lagi keupayaannya yang turut berfungsi dalam gerakan gol kedua dan ketiga JDT.




Jelas dengan pengalaman yang ada, dia membaca permainan dengan baik untuk membenarkan rakan-rakan bergerak lebih selesa di samping kemampuan menghidu kelompongan di kubu lawan.

Dengan pasukan kebangsaan akan bertolak ke Dubai bagi menghadapi baki tiga perlawanan getir kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pengendali JDT, Benjamin Mora, turut memberi ruang kepada Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Ketua pasukan kebangsaan itu memastikan barisan bimbingan Tomas Trucha yang terkenal dengan kepakaran bola tinggi di depan gawang gagal menembusi mereka sama sekali.

STATISTIK PERLAWANAN ——— MATCH STATISTICS Hidup Johor Demi Johor #HarimauSelatan #SouthernTigers #PermataSelatan #JewelOfTheSouth #JDTuntukSemua #JDTforAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, May 8, 2021