Zulfadli bukanlah asing buat peminat sukan badminton tempatan. Pernah mengecapi kegemilangan muncul sebagai Juara Remaja Dunia pada tahun 2011 di Taiwan, menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen, 21-18, 9-21, 21-19.

Itu cerita 6 tahun lalu, kedua pemain kini meniti laluan yang berbeza sebagai pemain badminton. Axelsen semakin meningkat naik saban tahun, manakala Zulfadli masih lagi tidak kunjung tiba kegemilangan yang pernah diukirnya.

Prestasinya yang kian tenggelam membuatkan peminat tanah air kurang lagi menaruh keyakinan terhadap anak muda dari Selangor ini, ini semua boleh dilihat dalam setiap komen yang dilemparkan netizen kepadanya di ruangan media sosial Facebook Astro Arena.

" Tu la anak Melayu...Victor Axelsen dulu sama level.. tak silap menang final remaja dunia... Skg ni Victor Axelsen dah level dunia.. Hang dok level kg lagi "

" x pyh la komen Zul... hang mmg x mampu tawan dunia badminton.."

"Boleh bersara dah mat2 ni...percaya r dia xkan dapat top 10 raking punya"

Demikianlah komen-komen yang ditujukan buat Zulfadli oleh netizen yang punyai kepakaran badminton yang luas menerusi internet.

Ditambah lagi perjalanannya di Kejohanan Seluruh England kali ini terhenti di pusingan pertama, bertemu dengan juara bertahan, pemenang pingat emas olimpik sebanyak dua kali, juara dunia sebanyak lima kali, dan pelbagai lagi kejayaan dilakar oleh manusia yang bergelar Lin Dan.

Metaforanya adalah seperti pertemuan David dan Goliath, cuma bezanya David dalam cerita ini tidak berdaya nak tewaskan Goliath dan dihempap dengan teruknya.

Itu yang terjadi kepada Zulfadli, 21- 11, 21- 12 sudah cukup menceritakan jurang antara kedua pemain ini.

Namun di sebalik episod tertewasnya Zulfadli di Barclaycard Arena, Birmingham, dia masih boleh tersenyum, memikirkan ada lagi segelintir rakyat Malaysia di bumi England ini, sanggup bersorak untuknya, memberikan kata-kata semangat di sebalik panji Jalur Gemilang meskipun tahu untuk menang menentang Lin Dan dalam pertemuan itu adalah satu perkara yang mustahil.

Mungkin itu satu perkara yang perlu difikirkan oleh peminat sukan tanah air untuk membezakan kutukan dan kritikan.