Saingan musim 2016-17 menyaksikan kelab England, Manchester United, berjaya meraih tiga piala, termasuk memenangi perlawanan Perisai Komuniti.

Kejayaan menundukkan Southampton dalam aksi final Piala EFL serta menjinakkan barisan muda Ajax bimbingan Peter Bosz dalam perlawanan akhir Liga Europa membolehkan pengurus, Jose Mourinho, tersenyum lebar dalam musim pertamanya bersama Red Devils.

Tidak dinafikan kehadiran penyerang dari Sweden, Zlatan Ibrahimovic, telah memberikan impak besar kepada skuad United.

Biarpun hanya sempat beraksi sehingga awal April selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang Anderlecht, dia berjaya menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan dan semestinya itu merupakan satu rekod baik buat seorang penyerang yang menjangkau umur 35 tahun.

Situasi Ibrahimovic bakal membuatkannya hanya menyarung jersi merah United selama satu musim sehingga menimbulkan persoalan siapa yang akan menggantikan tempatnya selaku penggempur utama untuk menjadi taruhan Mourinho pada musim depan?

Jika dilihat pada senarai pemain yang dimiliki United ketika ini, saya boleh katakan bahawa hanya Marcus Rashford yang mampu menggalas tugas di barisan hadapan United.

Bukan mahu memperkecilkan kebolehan Wayne Rooney atau Anthony Martial, tetapi penyerang muda England itu jelas memiliki kelebihan daripada segenap aspek kecuali pengalaman.

Rooney telah melalui zaman gemilang bersama United setelah 13 tahun berkelana di Old Trafford. Ketajamannya di depan gol lawan sudah terbukti apabila kini memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman buat United dengan 253 gol.



Namun, mungkin benar apa yang dikatakan bekas pertahanan United, Gary Neville, bahawa sudah tiba masanya buat Rooney meninggalkan skuad Red Devils.

Martial pula, penyerang yang memenangi anugerah ‘Golden Boy’ pada tahun 2015, nyata melalui musim yang sukar di bawah kendalian Mourinho. Dia menjadi watak utama ketika menyertai United awal musim lepas dari Monaco.

Perpindahannya bernilai GBP36 juta menjadi bualan ramai, namun golnya ketika menentang Liverpool berjaya menutup mulut pengkritik, disusuli dengan 13 gol lagi untuk keseluruhan musim pertamanya di Old Trafford.

Bagaimanapun, musim ini jelas bukan milik Martial. Kontroversi kes perceraiannya dengan bekas isteri, Samantha, memberi kesan buruk sehingga mengakibatkan permainan yang tidak konsisten di atas padang. Martial hanya berjaya menjaringkan enam gol musim ini.

Pada pengamatan saya, United amat dahagakan penyerang prolifik. Lihat sahaja impak Sergio Aguero di Manchester City serta Harry Kane di White Hart Lane.

Sejak menyertai The Citizens pada tahun 2012, Aguero tidak pernah menamatkan musim kurang daripada 10 gol, termasuk 26 gol pada musim 2014-15, untuk muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Begitu juga Kane di Spurs. Pemain yang dibawa masuk ke pasukan utama oleh Mauricio Pochettino itu konsisten sejak tiga musim lepas. Kane juga berjaya mengungguli carta penjaring terbanyak selama dua musim berturut-turut, termasuk musim ini dengan 29 gol.

Rashford memiliki karakter yang diperlukan United. Namun, dalam situasi sekarang, Red Devils amat memerlukan seorang penyerang yang sempurna, sama seperti ketika Sir Alex Ferguson berjaya mendapatkan Ruud Van Nistelrooy dan juga Robin van Persie.

Nama penyerang Perancis, Antoine Griezmann, menjadi buruan hangat untuk ke Old Trafford sejak Januari lalu. Bagaimanapun, keputusan FIFA menggantung Atletico Madrid daripada terlibat dengan mana-mana urusan perpindahan sehingga Januari 2018 membantutkan usaha United untuk membawa masuk pemain berusia 26 tahun itu.

Kini, tiga nama menjadi sebutan untuk menyertai skuad yang sedang dibina oleh Mourinho. Alvaro Morata, Andrea Belotti dan Romelu Lukaku kerap dikaitkan media dengan kelab Manchester itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang kata putus daripada pihak naib pengerusi eksekutif Manchester United, Ed Woordward, mahupun ketiga-tiga pemain tersebut.



Berdasarkan rekod, ketiga-ketiga penyerang ini telah membuktikan kredibiliti masing-masing dalam saingan liga domestik musim ini. Walaupun kesemua mereka masih belum mencecah umur 25 tahun, peranan yang ditunjukkan kepada pasukan sangat besar.

Jika dilihat pada pengalaman, Lukaku memiliki sedikit kelebihan selepas beraksi selama beberapa musim dalam EPL. Bagaimanapun, harus diingat, Belotti menjadi penjaring gol yang hebat di Torino sehingga muncul penjaring terbanyak Serie A manakala Morata mampu menjaringkan 15 gol dalam saingan La Liga walaupun hanya tampil sebanyak 14 kali.

Secara keseluruhan, Morata memiliki kriteria yang amat diperlukan untuk menjadi seorang penyerang yang matang. Pada usia 24 tahun, pengalaman beraksi dalam dua saingan liga terbaik Eropah dan dua pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah selain pendedahan beraksi di samping Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, Carlos Tevez dan Mario Mandzukic pasti membantu perkembangan penyerang Sepanyol itu.

Tidak kira siapa yang bakal menyarung jersi no. 9 di United awal musim depan, Jose Mourinho sudah tentu akan memastikan United kembali menjadi pencabar utama liga, terutama selepas sekadar menamatkan kempen musim ini di tangga keenam.


Siapa pilihan penulis? Saya hanya mahukan Paulo Dybala -- nama yang tampak mustahil tetapi tiada siapa yang tahu apa bakal berlaku di masa akan datang. Tidak salah untuk menyimpan angan-angan.