"Saya tinggalkan kelab ini dengan rasa bangga. Menjadi pengurus Manchester United merupakan salah satu impian hidup saya.

"Saya bermula sebagai seorang pemain, kemudian menjadi pengurus pasukan simpanan. Ketika itu, satu-satunya impian saya yang belum tercapai adalah menjadi pengurus pasukan utama.

"Sekarang, impian saya telah tercapai, maka saya gembira. Kelab ini adalah segala-galanya bagi saya, tetapi malangnya saya gagal untuk membawa kejayaan yang diperlukan, maka tiba masanya untuk saya berundur."



Ole Gunnar Solskjaer pergi jua akhirnya. Daripada petikan temu bual tersebut bersama laman sesawang rasmi Manchester United, jelas kedengaran rasa lega daripadanya.

Solskjaer mungkin telah memberikan apa yang dianggapnya usaha terbaik, namun hakikatnya, pihak United pastinya tidak mampu untuk berasa sebarang kelegaan dalam situasi berkecamuk yang dihadapi ketika ini.

Apa agaknya yang difikirkan oleh pihak pengurusan United? Jika mereka bersedia untuk melepaskan Solskjaer dari awal lagi, mengapa ia harus dilakukan ketika mereka cuma beberapa hari daripada perlawanan penting dalam Liga Juara-Juara Eropah dan juga ketika mereka bakal berhadapan dengan pendahulu liga, Chelsea, pada hujung minggu nanti?

Apa yang lebih melucukan, kelab menyatakan bahawa bekas pemain mereka, Michael Carrick, bakal membimbing pasukan buat seketika sahaja kerana pihak pengurusan perlu mencari pengurus sementara.



Carrick dijadikan pengganti sementara buat pengurus sementara yang belum dilantik, melucukan bukan? Jika Carrick boleh membawa kejayaan berterusan, mungkin juga dia bakal dijadikan pengurus seterusnya.

Itulah apa yang berlaku dengan Solksjaer sebelum ini. Namun, laporan pelbagai sumber lain meramalkan bahawa tidak akan ada perubahan nasib yang bakal berlaku kerana salah satu punca kegagalan Solskjaer adalah kebergantungannya terhadap barisan pelatih yang kurang berpengalaman, dan Carrick merupakan salah seorang daripada pelatih tersebut sebelum ini.

Sebelum ini, pihak pengurusan memiliki banyak peluang untuk mengambil tindakan bagi menyelamatkan kelab, namun mereka bertegas untuk meneruskan perjalanan dengan seorang pengurus yang jelas sekali bergelut, pemain-pemain yang semakin merosot dan pembelian baru yang tidak serasi, sehinggalah kekalahan 4-1 kepada Watford membuatkan mereka sedar bahawa tindakan drastik harus diambil.

Manchester United adalah sebuah kelab tanpa perancangan. Tiada strategi, tiada persediaan. Tidak hairanlah penyokong begitu kecewa dan geram dengan apa yang disajikan saban minggu. Mungkin satu-satunya berita baik buat United ketika ini adalah kesediaan seorang pengurus berkaliber untuk menyelamatkan mereka.

Menurut laporan Sportsmail, pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, dikhabarkan bersedia untuk meletakkan jawatan bersama kelab Perancis itu demi kembali ke pangkuan keluarganya yang berada di England.



Pochettino turut dikhabarkan agak kecewa dengan ego pemain ternama di PSG dan peluang untuk memimpin United merupakan sesuatu yang sememangnya dia dambakan. Selain daripada Pochettino, pengurus kelab Ajax, Erik Ten Hag, turut disasarkan sebagai calon, namun tempoh untuk mendapat khidmat beliau akan mengambil masa yang lama. Jika benar pun United dapat menemui seorang pengganti yang benar-benar berkelayakan, proses pemulihan tidak mungkin mengambil tempoh yang singkat.

Pemain harus menyesuaikan diri dengan strategi dan taktik pengurus baru, latihan harus dimulakan semula dari awal, segalanya yang sepatutnya berlangsung sejak awal lagi baru hendak dikerjakan sekarang. Masihkah ada harapan buat The Red Devils?