Saya menghormati jaguh karate, Syakilla Salni Jefry Krishnan, apabila diumumkan sebagai pembawa bendera kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia, bulan hadapan.

Dia miliki ciri-ciri juara masa depan.

Bekas ranking pertama dunia, juara bertahan Sukan Asia, prospek emas di Indonesia dan bakal menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Banyak pihak setuju dengan pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. "Pemilihan tepat daripada MOM. Syakilla juara masa depan kita," katanya.

Namun lebih kurang seminggu kemudian, gelora melanda skuad karate negara.

Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) mendakwa atlet kelahiran Selangor itu mempunyai masalah disiplin.

Antara dakwaan Setiausaha Agung Makaf, Vincent Chen, ialah Syakilla sudah dua kali terlepas kejohanan ekoran masalah berat badan selain masalah ketika sesi latihan.

"Dua kali dia merugikan duit rakyat Malaysia kerana tidak dapat sertai kejohanan ekoran masalah berat badan. Contohnya AKF (Kejohanan Karate Asia) di Jordan minggu lalu dia sepatutnya turun sebagai pilihan utama".

"Namun, dia tidak dapat sertai kategori 55kg kerana masalah berat badan. Kami sudah maklumkan kepadanya agar menjaga masalah ini. Jangan makan atau minum terlalu banyak", ujar Vincent.

"Dia diberi peluang kedua oleh penganjur untuk kurangkan berat badan (berlari), tetapi masalah itu tidak selesai. Saya kecewa kerana dia melepaskan peluang untuk mengumpul mata kelayakan ke Olimpik Tokyo".

"Jika ini berlaku sebelum Sukan Asia, Makaf juga yang akan malu," katanya.

Seingat saya, belum pernah ada calon pembawa bendera kontinjen negara dilucutkan status kerana masalah disiplin.

Saya mengenali Syakilla pada hari pertama dia menyertai skuad kebangsaan selepas dipilih oleh bekas pengendali negara, Datuk P. Arivalagan.

Saya masih ingat kata-kata Arivalagan: "Atlit ini juara masa depan. Dia mempunyai semangat dan bentuk tubuh yang baik dalam sukan ini. Saya yakin dia akan menggegar dunia."

Ayuh Syakilla. Bangkit daripada masalah ini. Anda juara masa depan, anda harapan emas Sukan Asia dan Olimpik Tokyo!