Skuad B-22 negara sekadar mengikat Myanmar 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila, Isnin lalu.

Ia menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu perlu memenangi baki ketiga-tiga perlawanan untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir dan seterusnya ke final bagi menebus kehampaan meraih pingat perak dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Dalam perlawanan pertama itu, Malaysia membariskan tujuh pemain daripada skuad senior, Haziq Nadzli (penjaga gol), Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Daniel Amier Norhisyam dan Akhyar Rashid, namun gagal menunjukkan keserasian sebagai satu pasukan.

Kepincangan itu jelas terpampang apabila Soe Moe Kyaw memanfaatkan peluang untuk membolosi gawang yang dijaga Haziq pada minit ke-13 sebelum Hadi Fayyadh Abdul Razak memadamkan kelebihan itu 11 minit kemudian

Adam, misalnya, selaku antara pemain paling senior yang mengisi slot lebih umur dan dilantik memakai lilitan lengan, perlu mengekalkan ketenangannya ketika mengetuai barisan pertahanan negara.

Dia turut dilihat hilang pertimbangan dalam satu insiden babak kedua sehingga dilayangkan kad kuning kerana menolak pertahanan lawan.

Syahmi pula, yang diturunkan di posisi sayap kanan, kerap melakukan hantaran lintang yang tersasar jauh sehingga menyukarkan Hadi Fayyadh melakukan percubaan.

Syamer, selaku perancang di bahagian tengah, tidak dapat menjadi penghubung di antara jentera pertahanan dan serangan dengan pergerakan skuad negara kerap terhenti di tengah padang.

Akhyar dapat melakukan larian-larian pantas dengan kelicikannya tetapi kerap kehilangan bola dan mensia-siakan peluang di depan gawang.

Mungkin permukaan padang tiruan memberikan kesan terhadap persembahan skuad negara tetapi itu bukanlah alasan yang sesuai memandangkan venue sama turut dikongsi pasukan-pasukan lain.

Diharapkan segala kelemahan itu dapat diperbaiki dalam perlawanan menentang pasukan tuan rumah, Filipina, malam esok dan pemain senior dapat membimbing pemain muda seperti Luqman Hakim Shamsudin untuk bergerak sebagai satu unit dan memenangi setiap baki perlawanan.

Selamat berjaya buat Kim Swee dan pasukannya.

Semoga dapat merealisasikan impian menyarung ibu segala pingat emas yang didambakan peminat dan penyokong bola sepak negara.