Kejayaan menewaskan Thailand dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Sukan SEA 2021 di Vietnam telah memberi kelegaan kepada Brad Maloney setelah mengharungi pelbagai rintangan ketika mempersiapkan pasukan Malaysia B-23 tahun ini.

Bukan itu sahaja, kemenangan ini juga membawa keceriaan kepada pemain-pemain muda Harimau Malaya sendiri apabila beban yang dipikul dalam perlawanan pertama itu dapat diatasi selain dapat membina keyakinan diri mereka untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Walaupun pada awal permainan skuad kendalian Maloney itu agak sedikit goyang, namun mereka dapat melaluinya dengan tenang. Inilah yang dikatakan pengalaman dan keinginan yang tinggi untuk mencari dan mencipta kemenangan.

Apa yang penulis lihat daripada persembahan pertama ini, aspek yang perlu diperbaiki pemain-pemain muda Harimau Malaya ini adalah keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri sekiranya ingin menjadi juara dalam temasya kali ini.



Keyakinan dan kepercayaan kepada kemampuan diri sendiri amat penting kerana ia akan mempengaruhi emosi dan persembahan mereka di atas padang.

Ia boleh dilihat apabila mereka kurang percaya kepada kemampuan diri dan pada awalnya ia menyebabkan persembahan mereka agak tidak menentu. Ia membuatkan pihak lawan berjaya mendominasi permainan namun sebaik skuad Gajah Perang itu kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah, perubahan yang ketara dipamerkan anak didik Maloney berkenaan.

Mereka perlu banyak berkomunikasi serta perlu mempercayai antara sama satu lain.

Dengan cara itu ia akan meningkatkan keyakinanan diri selain itu mereka perlu mengetahui apakah kelebihan yang dimiliki supaya dapat digunakan untuk memperdayakan lawan.

Sekiranya elemen ini dapat ditingkatkan oleh setiap pemain, maka amat mudah bagi Maloney dalam memainkan peranan dalam meningkatkan motivasi anak didiknya agar terus memberi aksi yang tekal.