Seronok melihat bekas atlet lontar peluru negara, Adi Alifuddin Hussin, yang sibuk menguruskan tanaman nanas di Kuala Terengganu.

Pemegang rekod kebangsaan itu mula menanam nanas jenis MD2 sejak Ogos 2017 dan sudah menuai hasil pertama.

Terpancar kegembiraan di wajah Adi setiap kali bergambar di kebun nanas miliknya seluas tiga ekar.

"Alhamdulillah, rasa tenang setiap kali datang ke kebun. Mungkin aktiviti ini sesuai dengan jiwa saya.

"Saya merancang untuk meluaskan lagi kawasan tanaman ini," katanya.

Ditanya mengapa pilih nanas: "Saya bukan peminat nanas tapi selepas mencuba nanas MD2 di Setiu pada 2017, rasanya sangat manis. Saya terus jatuh cinta.

"Tanaman ini mudah dijaga. Saya sibuk dengan tugas di UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin), jadi ia tidak perlukan penjagaan rapi.

"Saya menguruskan tanaman ini bersama isteri. Ia juga salah satu cara untuk mengeratkan hubungan kami."

Lama tidak bertemu Adi. Seingat saya pada 2017, iaitu sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur.

Nampak perubahan yang makin ketara, nampak lebih bersemangat terutama apabila bercerita mengenai nanas.

Saya sempat bertanya, adakah beliau merancang kembali ke pangkuan skuad kebangsaan?

"Olahraga cinta pertama. Saya tidak pernah lupakan olahraga tapi hidup perlu diteruskan.

"Saya makin berusia dan perlu merancang untuk masa depan. Saya sedang mencari peluang untuk menjadi jurulatih lontar peluru peringkat kebangsaan.

"Mungkin ia lebih sesuai. Lagipun, skuad negara tidak mempunyai atlet dan jurulatih skuad lontar peluru (kategori normal) yang mampu menang kejohanan antarabangsa buat masa ini," katanya yang masih memegang rekod kebangsaan, 17.31 meter.

Adi Alifuddin Hussin, bekas jaguh lontar peluru negara kini tauke nanas MD2.