Segar dengan kejayaan ke Piala Dunia, program latihan rapi dan dominasi pemain utama - ramuan cukup untuk skuad hoki negara cipta sejarah menjuarai Piala Asia buat kali pertama di Dhaka, Bangladesh.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982, pencapaian terbaik Malaysia ialah tangga ketiga pada 2007.

Ketika itu pemain senior seperti kapten, Sukri Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor, Muhammad Razie Abd Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil masih lagi muda.

10 tahun lalu, mereka masih pendatang baru dan menuntut tunjuk ajar senior seperti Jiwa Mohan, Madzli Ikmar Mohd Noor, Roslan Jamaluddin dan Azlan Misron.

Kali ini, mereka jadi tunjang utama dan akan mengetuai misi muncul juara.

Ironinya, pengendali negara, Stephen van Huizen mengumumkan jika mereka ke final sudah cukup memuaskan kerana ia akan jadi rekod baru selain pemanas badan menjelang Sukan Asia 2018.

"Sasaran utama tahun depan ialah Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Dhaka akan jadi langkah pertama yang penting ke arah itu.

"Jika kami berjaya mara hingga ke final, seperti yang disasarkan, ia akan memberi kami rangsangan terbaik apabila kami bertemu dengan pasukan utama Asia di Sukan Asia Indonesia," katanya.

Benar, hanya juara Sukan Asia 2018 akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 - kejohanan yang masih belum dijejaki sebahagian besar pemain The Malaysian Hockey Tigers.

Ia antara faktor utama mengapa pemain seperti penjaga gol, S Kumar dan senior lain menangguhkan hasrat bersara walaupun usia melebihi 30 tahun.

Saya melihat peluang Malaysia setaraf India untuk muncul juara.

Kumpulan B tidak begitu sukar untuk dilepasi apabila Malaysia, pilihan kedua kejohanan akan dicabar Korea Selatan, China dan Oman.

Pemain muda yang diberi peluang seperti pertahanan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Amirul Aideed Arsyad perlu menggunakan peluang ini untuk membuktikan mereka mampu menyertai skuad senior.

Begitu juga dengan mesin penjaring gol, Razie, Tengku, Faizal Saari yang berada di tahap terbaik selepas bantu Malaysia raih tangga keempat Separuh Akhir Liga Dunia di London, England, Julai lalu.

Malah pilihan utama, India perlukan masa menyesuaikan diri dengan sentuhan jurulatih baru, Sjoerd Marijne menggantikan Roelant Oltman yang dipecat, bulan lalu.

Akhir sekali, rekod Malaysia cemerlang di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka selepas muncul juara Pusingan Kedua Liga Dunia, Mac lalu.

Jadi, gabungan beberapa faktor ini mampu menyumbang kejayaan Malaysia di Dhaka.

Kepada pemain, gunalah peluang cipta sejarah baru. Walaupun kita sudah layak ke Piala Dunia, tetapi ambil kesempatan ini untuk menghadirkan rasa gerun terhadap penghalang ke Olimpik Tokyo.

Kepada Stephen, saya percaya anda mampu melakukannya. Anda jurulatih terakhir bawa Malaysia ke Olimpik (Sydney 2000), Piala Dunia dan kini, peluang menjuarai Piala Asia.