Sesudah Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dipaksa meninggalkan Russia, pemain yang ditakrifkan sebagai sebaris dengan mereka, Neymar, berpeluang mencuri tumpuan dunia.

Kegagalan Argentina dan Portugal dalam pusingan 16 susulan disekat Perancis dan Uruguay mendorong peminat untuk melirik ke arah bintang baru dalam Piala Dunia di Russia.

Dalam tempoh lebih sedekad, Messi dan Ronaldo masing-masing mengungguli Anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali selain sering mewarnai paparan utama media.

Di atas kertas, Brazil mempunyai ciri-ciri sang juara apabila dibarisi pemain yang lebih berwibawa di setiap posisi berbanding kempen mengecewakan di laman sendiri, empat tahun lalu.

Situasi ini sepatutnya meletakkan Neymar lebih selesa untuk mempamerkan kelincahannya, namun perjalanan kariernya musim ini digugat isu kecederaan jari kaki pada Februari lalu.

Hanya disahkan bebas sepenuhnya daripada kecederaan itu kurang seminggu menjelang sepak mula kejohanan, pemain termahal dunia itu tampak masih berkarat selepas tiga aksi pertama.

Dengan hanya menyumbangkan satu gol setakat ini, watak Neymar tidak lebih sekadar mengundang rasa meluat sehingga menjadi bahan jenaka ketika berguling-guling menentang Serbia selain helah tidak menjadi ketika cuba meraih simpati pengadil untuk mendapatkan penalti ketika menentang Costa Rica.

Neymar menggunakan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai pintu belakang untuk diiktiraf sebagai pemain terbaik, justeru pemain berusia 26 tahun itu harus mempamerkan lenggok samba yang cukup dikagumi di seluruh dunia.

Pentas Piala Dunia 2018 boleh dijadikan medan untuk membuktikan bahawa dia mampu memacu Brazil untuk kejuaraan keenam, apatah lagi perebutan Ballon d'Or dilihat lebih terbuka pada tahun depan di sebalik kejayaan luar biasa Ronaldo yang menawan Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut manakala Messi unggul di kancah domestik.