Pengendali kelahiran Melaka ini menewaskan dua lagi calon di senarai akhir, bekas jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Bojan Hodak dan bekas pengendali Sarawak Robert Alberts.

Kim Swee diberi kontrak dua tahun oleh FAM namun, turut diberikan tiga sasaran yang cukup mencabar iaitu menjuarai Piala Suzuki AFF 2016, melepasi saingan play off Piala Asia serta meningkatkan ranking dunia skuad negara di 171 dunia kini ke 140 dunia.

Tiga sasaran yang cukup sukar, namun Kim Swee tampak tenang walaupun akui ia adalah cabaran yang cukup sukar buatnya.

" Ranking skuad negara boleh ditingkatkan, tetapi ia tidak boleh dikecapi dalam tempoh singkat dan ia juga memerlukan perancangan teliti.

" Bagi membentuk barisan mantap ke Piala Suzuki dan juga play off Piala Asia, sudah pasti saya akan mempertimbangkan kelibat beberapa bekas pemain Harimau Muda menguatkan barisan sedia ada dengan gabungan tonggak senior.

" Saya cuma berharap, bekas pemain Harimau Muda akan berada dalam skuad utama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia musim ini kerana mereka perlu menjadi pemain utama untuk berada dalam barisan negaara," kata Kim Swee ketika ditemubual Nadi Arena sejurus perlantikannya 18 Januari lalu.

Bagi penulis, ketika ini apa yang penting adalah untuk memberi ruang buat Kim Swee mencanag pendekatan terbaik buat barisan negara.

Persoalan sama ada Kim Swee mampu mencapai tiga sasaran yang ditetapkan FAM kepadanya atau tidak, mungkin sukar dijawab buat masa ini.

Namun, demi kebaikan skuad kebangsaan dan juga usaha memulihkan semula imej bola sepak negara, Kim Swee memerlukan sokongan semua pihak.

Sepanjang pembabitannya selaku pengendali Harimau Muda A dan skuad Bawah 23 Tahun negara, ada kejayaan dan juga kegagalan yang ditempuhi Kim Swee.

Kim Swee juga tampak bertuah, apabila diberi kepercayaan selaku pemangku jurulatih kebangsaan sebelum ini yang membolehkannya mengenali keupayaan pemain senior negara dengan lebih dekat.

Segala pencapaian sebelum ini juga seharusnya,mematangkan bekas pemain tengah kebangsaan ini mengharungi cabaran yang lebih berliku selaku jurulatih kebangsaan.

Harapan penulis adalah untuk melihat Kim Swee sekurang-kurangnya mampu mencapai dua daripada tiga sasaran yang diberikan kepadanya.