Pemain tengah berkelas dunia, pemenang Piala Dunia 2018 dan bernilai setinggi £89 juta (RM438 juta), itulah Paul Pogba, pemain paling mahal dalam sejarah Manchester United.

Namun, Pogba sekadar memanaskan bangku simpanan United buat dua perlawanan berturut-turut kebelakangan ini, hairan bukan?

Dalam formasi 4-3-3 yang digunakan Ole Gunnar Solksjaer, ruang untuk pemain tengah United hanyalah tiga tetapi nampaknya Pogba tidak dipilih untuk satu pun ruang tersebut.

Sewaktu menentang Chelsea hujung minggu lalu, Solksjaer menaruh kepercayaan terhadap Fred dan Scott McTominay untuk menggalas posisi pemain tengah bertahan manakala Bruno Fernandes satu-satunya pemain tengah menyerang.

Fernandes sememangnya menunjukkan prestasi cemerlang sejak dibeli United awal tahun ini, namun bukankah kehadiran Pogba sepatutnya mampu membantu untuk meningkatkan lagi persembahan jentera tengah United di sampingnya?

Dalam temu bual bersama Sky Sports, bek kanan legenda United, Gary Neville, mencadangkan Solksjaer menukar formasi agar dapat meniru kejayaan kelab seteru, Manchester City, yang menyerlahkan potensi penuh dua pemain tengah bertaraf bintang, David Silva dan Kevin De Bruyne.

“Saya tidak faham mengapa Solksjaer tidak menggunakan sekadar seorang pemain tengah bertahan dan meletakkan Pogba dan Fernandes di hadapannya.
\



“Posisi pemain tengah bertahan memerlukan seseorang yang cukup berdisiplin tetapi Pogba bukan pemain seperti itu. Dia lebih gemar mara ke hadapan, jadi dia seharusnya diberikan tanggungjawab yang serupa seperti Fernandes.

“United mempunyai pemain-pemain tengah dengan nilai gabungan setinggi £150 juta tetapi mereka diletakkan di bangku simpanan sahaja? Itu memang satu masalah,” kata Neville.

Seperkara lagi yang menghairankan, jika Solksjaer menginginkan dua pemain tengah bertahan bagi membentuk teras pasukan, mengapa dia membeli Donny Van De Beek musim panas lalu, seorang lagi pemain tengah menyerang yang dikenali dengan kreativiti dan kebolehan melakukan larian berbahaya ke dalam kotak penalti lawan?

Jika dilihat pada minit-minit terakhir perlawanan United menentang PSG dalam Liga Juara-Juara Eropah, Solksjaer sememangnya menggunakan ketiga-tiga pemain ini serentak dengan Fernandes menjadi peneraju, disokong oleh Pogba dan Van De Beek di belakangnya manakala McTominay melindungi mereka dari belakang.




Adakah dia berpendapat formasi ini terlalu bahaya untuk digunakan dalam Liga Perdana Inggeris dan dia tidak ingin tragedi 6-1 menentang Tottenham berulang? Mungkin hanya dia yang tahu.

Tidak kira apa pun, berdasarkan persembahan menentang Chelsea, United perlu meningkatkan kreativiti mereka dalam melakukan serangan agar dapat membolosi gawang lawan dengan lebih kerap.

Apatah lagi apabila mereka bakal menghadapi tiga lawan kuat dalam perlawanan-perlawanan seterusnya, RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara serta Arsenal dan Everton dalam Liga Perdana Inggeris.