Biarpun saingan bola sepak domestik sedang berehat sementara menunggu aksi pembuka tirai pada Januari 2017, namun kemeriahan saingan bola sepak tempatan masih dirasai. Bukan kerana aksi di atas padang tetapi kerana meriahnya perpindahan pemain ke pasukan lain.

Kita lupakan seketika peristiwa pahit yang melanda skuad kebangsaan dan juga krisis beberapa pasukan negeri, kerana mereka kan golongan kebal yang tidak suka mendengar nasihat mahupun pandangan pihak luar.

Berbalik kepada jendela perpindahan pemain, pasukan yang paling utama mencuri perhatian tentulah pasukan JDT yang sudah meminang Syahrul Azwari, Nazmi Faiz Mansor dan Haziq Nadzli, selain itu turut dikhabarkan mereka bakal melamar beberapa pemain import baharu.

Pemain yang diceraikan pula antaranya Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin yang dikhabarkan dibeli oleh skuad Perak dengan nilai yang dirahsiakan, selain otai, Amri Yahyah yang berhijrah ke Melaka United.

Penghijrahan Amri ke Melaka United adalah atas tamat kontrak. Turut disertai Melaka United adalah nama besar lain seperti Fauzi Roslan, Izzaq Faris dan R. Gopinathan.

Di utara tanah air pula, pemain pertahanan kebangsaan Rizal Ghazali dikatakan membuat pusingan U apabila memilih untuk kekal bersama Kedah, biarpun dikatakan sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Felda United.

Selain isu Rizal, Kedah dijangka membawa masuk Fitri Omar dan Akram Mahinan selain pemain yang turut berada di dalam radar mereka iaitu pemain Singapura, Safuwan Baharuddin.

Paling mencuri tumpuan tentunya skuad Tok Gajah yang memanggil semula Dollah Salleh untuk memikul tugas sekalu ketua jurulatih dan turut berjaya memikat nama nama besar antaranya Ashari Shamsuddin, Muslim Ahmad, Joseph Kalang Tie, Zubir Azmi,Syamim Yahya, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Nuridzuan Abu Hassan.

Pasukan lembah klang seperti PKNS pula dilihat terus meninggalkann abang tiri mereka ke belakang apabila memancing pemain seperti Azmi Muslim, K Gurusamy, Sabree Mat Abu, Bobby Gonzales selain turut berjaya mendapatkan khidmat Fauzan Dzulkifli dan Khyrill Muhaimeen Zambri.

Biarpun beberapa pasukan negeri juga dilihat melakukan penambahbaikan dalam pasukan masing-masing, namun realitinya kini, kita dapat melihat fakta dimana pasukan berstatus kelab seperti JDT, Melaka United, Pahang FC dan PKNS FC telah mendahului pasukan negeri dalam persiapan menjelang bermulanya saingan bola sepak tempatan.

Ini membuktikan bahawa budaya penswastaan kelab harus segera dilaksanakan secara menyeluruh agar penaja boleh mula menaja pasukan yang bertanding, dan pasukan kelab juga tidak perlu hanya mengharapkan dana dari kerajaan negeri.